Myanmar teruskan program pemvaksinan COVID-19
05/02/2021 05:05 PM
YANGON, 5 Feb — Myanmar pada Jumaat meneruskan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara, menurut pengumuman Kementerian Kesihatan dan Sukan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Kira-kira 103,142 petugas dan sukarelawan barisan hadapan telah menerima suntikan sejak fasa pertama program vaksinasi dilaksanakan di seluruh negara pada 27 Januari.
Pada Jumaat kumpulan yang akan diberi keutamaan termasuk menteri kesatuan, timbalan menteri dan pegawai peringkat kesatuan, pegawai kanan kerajaan, warga emas melebihi 65 tahun di bandar dengan perintah tinggal di rumah, bekas menteri kesatuan, timbalan menteri dan anggota kerajaan daerah atau negeri.
Myanmar telahpun menerima kumpulan pertama 1.5 juta dos vaksin Covishield manakala 30 juta dos vaksin Covishield akan tiba di Myanmar tidak lama lagi, kata kementerian itu.
Kementerian menyasarkan sekitar 38.35 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas akan diberi suntikan vaksin pada tahun ini.
Myanmar melaporkan 141,104 kes COVID-19 dan 3,163 kematian pada Khamis, menurut data terbaharu kementerian.
Myanmar setuju mulakan program hantar balik Rohingya tahun ini