PSM harap kerajaan beri kelonggaran industri sukan untuk aktif semula


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail

06/02/2021 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berharap industri sukan negara diberikan kelonggaran untuk diteruskan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL).

Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail berkata para penggiat sukan komited untuk menjaga dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamal dan dipraktikkan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.



“Kita mohon supaya industri sukan dapat diaktifkan semula dan diseimbangkan dengan langkah-langkah keselamatan yang digariskan kerajaan…industri sukan wajar dihidupkan dan digerakkan semula demi kepentingan bersama.

“Malahan, kejohanan-kejohanan sukan pun dapat diaktifkan semula secara gelembung sukan seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ia boleh dilaksanakan secara ‘Quarantine Based Approach’ dan tanpa penonton,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

PSM sebelum ini menangguhkan saingan Piala Juara-Juara STL di Iskandar Puteri, Johor yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 16 Jan.

Saingan itu melibatkan enam pasukan terbaik Divisyen Premier STL iaitu juara musim ini, Kuala Lumpur Thunders; ATM Guardians; Johor Tigris; Negeri Sembilan Antlers; Kelantan Warriors dan Penang Black Panthers serta dua pasukan terbaik Divisyen Satu STL iaitu Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.



PSM tegas tidak teruskan aksi Piala Juara-juara STL semasa PKP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button