Perbicaraan kes rasuah Netanyahu disambung


Benjamin Netanyahu (Foto: Kobi Gideon/GPO/dpa)

08/02/2021 07:34 PM

BAITULMAQDIS, 8 Feb — Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu hadir di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis pada Isnin untuk sambungan perbicaraan tuduhan rasuah terhadapnya, lapor Agensi Anadolu.

Netanyahu hadir lebih kurang 20 minit sebelum meninggalkan mahkamah.



Sesi perbicaraan dimulakan dengan Hakim Rivka Feldman Friedman mengesahkan kehadiran defendan.

Netanyahu menjawab dengan mengesahkan kehadirannya, mematuhi prosedur mahkamah.

“Saya mengesahkan jawapan bertulis yang diserahkan atas nama saya,” kata Netanyahu kepada mahkamah sebelum meninggalkan kamar mahkamah.

Polis Israel mengawal ketat persekitaran mahkamah. Meskipun dikawal pasukan keselamatan, puluhan rakyat Israel berhimpun di jalan untuk mengadakan bantahan terhadap Netanyahu berhampiran bangunan mahkamah dan menuntut beliau meletak jawatan.



Netanyahu berdepan pertuduhan rasuah dan pecah amanah, Beliau berulang kali menafikan tuduhan tersebut.

Pada 14 Januari, Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit mengemukakan dakwaan terhadap Netanyahu. Sesi perbicaraan pertamanya diadakan pada Mei 2020, kemudian disusuli dengan sesi lain pada Julai 2020, sebelum perbicaraan ditangguhkan kerana sekatan pergerakan COVID-19.

Netanyahu sedang membuat persediaan mencalonkan diri dalam pilihan raya umum Israel pada 23 Mac, pusingan keempat pilihan raya negara itu dalam tempoh dua tahun.

Netanyahu, yang memimpin parti bersayap kanan Likud, adalah Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat dengan lebih 14 tahun memegang jawatan.



Netanyahu dijadual lawat UAE 23 Dis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button