SELEPAS IBU, BAPA PULA ‘TARBIAH’ AIMAN TINO
“Malam tadi dia ada pulang ke rumah berjumpa dengan ahli keluarga terutama ibunya. Selepas itu, saya tarik Aiman bawa masuk berbincang dalam kereta, iyalah mungkin kalau bercakap depan adik beradik lain dia malu.
“Saya peringatkan semula kepada Aiman akan tanggungjawabnya sebagai seorang artis dan kesan tindak-tanduknya jika lalai. Selagi Aiman masih ada orang cari bermakna dia perlu bersyukur, jangan sebaliknya bila sudah tiada barulah nak terminta-minta job.
“Saya juga sering menasihatkan sebelum naik pentas, ini kerjaya Aiman dan jaga disiplin diri yang mana termasuklah hubungan dengan para wartawan dan klien. Kalau kerja kerajaan mungkin dia dah kena surat amaran,” demikianlah kata bapa penyanyi Aiman Tino, Yusri Ishak.
Yusri memberitahu, anaknya yang berusia 22 tahun itu ada pulang ke rumah pada malam tadi dan sudah di ‘tarbiahkan’ dengan harapan dia berubah. Yusri berharap agar anaknya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang yang sudah dewasa apatah lagi dalam kerjayanya.
Klik untuk gambar besar
Katanya, Aiman perlu ingat bahawa bidang seni adalah kerjayanya dan dia kena ada tanggungjawab, waimah siapa sekalipun yang menghubunginya, dia perlu jawab panggilan dan membalas pesanan.
Menurut bapa Aiman lagi, penyanyi ‘Ku Rela Dibenci’ itu tidak mahu menyusahkan ibu bapanya berulang alik daripada Kuala Kubu Bharu ke Kuala Lumpur, maka dari itu Aiman meminta untuk hidup berdikari. Namun dengan kejadian ini, ianya ternyata gagal meyakinkan kedua orang tuanya.
“Sebelum ini kata Aiman, dia tidak mahu menyusahkan kami (ibu bapa) berulang-alik dari Kuala Kubu Bharu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Memandangkan dia kini sudah dewasa saya lepaskan.
“Untuk hidup berdikari tiada halangan tapi kena pandai bawa dan jaga diri. Tetapi nampaknya dia gagal, makin lama semakin teruk dan disebabkan ini Aiman perlu disedarkan semula siapa diri dia,” ujarnya.
AIMAN TINO NAFI DIKONGKONG ‘GADIS’, MENGAKU SILAP TAK BALAS MESEJ IBU