Buku panduan bantu kontinjen negara buat persiapan Sukan Olimpik Tokyo
10/02/2021 06:30 PM
KUALA LUMPUR, 10 Feb — Buku panduan bagi atlet dan pegawai ditetapkan sebagai sumber maklumat rasmi untuk Sukan Olimpik Tokyo, dalam usaha memastikan keselamatan dan kesihatan bagi semua pada temasya sukan itu, Julai ini.
Buku tersebut memberi garis panduan apa yang perlu dilakukan oleh kontinjen dalam tempoh 14 hari sebelum perjalanan, ketika masuk ke Jepun, semasa pertandingan dan ketika meninggalkan negara itu.
Langkah-langkah yang digariskan dalam versi pertama buku panduan itu dijangka akan dikemaskinikan , menurut kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Chef-de-Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei berkata buku panduan bukan sahaja hala tuju dalam membantu perancangan dan persediaan kontinjen negara malah memperjelaskan usaha penganjur menjadikan temasya sukan itu selamat dan terjamin.
“Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini akan menjadi pengalaman unik buat semua orang. Bagi sukan diadakan semasa pandemik COVID-19, kita faham akan ada syarat tambahan dan sekatan. Oleh itu, atlet dan pegawai kita perlu membuat pengorbanan, penyesuaian dan fleksibel,” katanya dalam kenyataan tersebut.
“MOM komited dan turut solidariti dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan jawatankuasa penganjur bagi memastikan atlet dan pegawai kita faham beberapa kekangan baharu nanti,” katanya.
Chong Wei, bekas jaguh badminton negara, berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua yang terlibat dalam mewujudkan persekitaran dan platform yang ideal untuk atlet menampilkan persembahan pada tahap terbaik dalam temasya sukan itu.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan tahun lalu susulan pandemik COVID-19 dan dijadualkan semua dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Polis Johor terima 16 laporan berhubung buku Tommy Thomas sehingga kini