Liga-M: Pasukan teruja dibenar kembali berlatih

10/02/2021 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Pasukan yang bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) teruja untuk kembali memulakan sesi latihan berpasukan bermula Isnin depan menjelang sepak mula saingan musim 2021 pada 5 Mac depan.

Majoriti pengendali pasukan bersedia mengikuti prosedur operasi standard (SOP) bakal dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dengan ketua jurulatih Universiti Teknologi Mara (UiTM) Frank Bernhardt mengakui lega tidak perlu menunggu lama untuk mempersiapkan pasukan.



Meskipun tidak dapat mengendalikan sesi latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Jan lepas, beliau optimis pemainnya masih berada di tahap terbaik selepas mengikuti program latihan secara dalam talian.

“Kami tidak ada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan iaitu program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan kerana kami mempunyai kemudahan mencukupi untuk tempatkan kesemua pemain,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Pada masa sama, ketua jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto melihat kebenaran kerajaan itu amat penting dalam kelangsungan saingan musim ini sekali gus dapat mengelakkan daripada penganjuran Liga-M ditangguh.

Beliau berkata semua pasukan sudah tentu mempunyai perancangan masing-masing sejak bermula awal tahun ini dan perkembangan itu diharap akan memberi keselesaan kepada jurulatih dalam merangka sistem latihan bersesuaian.



“Apa jua SOP digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), kami sedia ikutinya kerana tidak mahu sebarang masalah membabitkan kesihatan pemain demi memastikan liga kita mampu berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kami betul mahukan Liga Malaysia dapat bermula seperti biasa musim ini dengan semua perlawanan dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC P. Maniam menegaskan pemain serta barisan kejurulatihan pasukannya telah bersedia dari segi mental untuk mengikuti latihan secara kuarantin.

“Sememangnya SOP (gelembung sukan) itu antara kaedah baharu yang akan digunakan namun apa jua langkah ditetapkan, demi memastikan Liga-M kembali bersambung, kami sedia ikuti SOP sepertimana diarahkan kerajaan,” jelas beliau.



Jadual Liga-M musim 2021 dijadual bermula 5 Mac ini.

Semalam, kerajaan membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi semua pasukan bertanding dalam Liga-M, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Feb depan.

90 penduduk Langkawi teruja rasai pengalaman pertama kali naik helikopter



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button