Ebit Lew taja RM40,000 bantu pelajar cemerlang sambung pengajian
11/02/2021 08:20 PM
KOTA BHARU, 11 Feb — Pendakwah terkenal, Ebit Lew menaja sepenuhnya kos pengajian sebanyak RM40,000 bagi pelajar cemerlang Nurul Asma Alya Mohd Zainal, 22 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang perakaunan.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Ebit memaklumkan tajaan berkenaan membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun setengah termasuk penginapan Nurul Asma Alya yang juga bekas pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) dengan kelulusan 3.95 CGPA.
Beliau turut menziarahi keluarga pelajar itu di kediamannya di Tumpat hari ini bagi menyampaikan berita gembira tersebut.
“Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu, terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya Allah doa saya dikabulkan.
“Saya akan taja penuh RM40,000 lebih untuk dua tahun setengah termasuk penginapan,” katanya dipetik menerusi laman sosialnya itu.
Sementara itu, Ebit Lew turut memaklumkan bahawa Nurul Asma Alya merupakan antara pelajar cemerlang ketika menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tumpat dan mendapat keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran peringkat diploma di KPM.
Dalam perkongsian itu, Ebit turut memaklumkan beliau menghadiahkan komputer riba serta kelengkapan internet selama setahun secara percuma bagi memudahkan pembelajaran pelajar tersebut.
“Kami hadiahkan juga laptop (komputer riba) dan ‘router’ serta ‘Wi-fi’… Wi-fi oleh Digi free setahun. Beri sedikit duit sumbangan buat mak adik ini. Saya jadi sedih sebab keluarga ini asyik menangis cakap terima kasih. Semoga esok-esok, adik dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang di luar sana,” katanya.
Ebit turut menzahirkan terima kasih kepada masyarakat setempat dan semua pihak yang membantu keluarga Nurul Asma Alya termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat, badan bukan kerajaan (NGO), penghulu, ketua kampung dan media.
Terdahulu, cerita itu tular di laman media sosial dan mendapat hampir 4,000 perkongsian yang rata-rata memuji tindakan pendakwah terkenal itu yang sering membantu tanpa mengira agama dan bangsa dan dilihat pantas dalam melakukan kerja amal dan sumbangan.
Sebelum ini, media melaporkan kesedihan pelajar cemerlang di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu di Tumpat kerana terpaksa melupakan cita-cita melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara kerana masalah kewangan.