KPDNHEP P. Pinang catat nilai rampasan bernilai RM87,335 sejak Januari
11/02/2021 03:43 PM
GEORGE TOWN, 11 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mencatatkan rampasan bernilai RM87,335 sejak Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata rampasan itu dibuat menerusi 7,326 pemeriksaan terhadap pelbagai premis yang dijalankan sejak Januari tahun ini merangkumi pelbagai barangan dan kesalahan di bawah pelbagai akta antaranya Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita telah membuka 80 kes di bawah pelbagai akta menerusi 7,326 pemeriksaan terhadap pelbagai premis yang dijalankan sejak Januari tahun ini. Nilai kompaun pula mencecah RM7,550. Antara barang yang dirampas ialah barang-barang terkawal dan bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran pihak berkuasa, barang-barang tiruan, barang yang disalah guna logo halal, diesel dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SHMMP) 2021 di sebuah pasar raya besar di sini hari ini.
Beliau berkata bagi pemantauan di bawah SHMMP, sebanyak tujuh peniaga di pasar basah telah dikompaun atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga barangan terkawal yang berwarna merah jambu menjelang musim perayaan.
Sementara itu, berhubung tinjauan KPDNHEP Pulau Pinang berkenaan stok peranti elektronik, Mohd Ridzuan berkata hasil pemantauan mendapati alat itu yang dijual dengan harga berpatutan telah habis dijual di negeri ini.
“Kita telah mengeluarkan notis kepada 22 premis utama yang menjual peranti di seluruh Pulau Pinang untuk memberikan harga jualan terkini supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan ketika ini,” katanya.
— BERNAMA
4,560 kesalahan pelbagai akta direkodkan sejak PKP bermula – KPDNHEP