Pemimpin negara asing, pertubuhan antarabangsa ucap Selamat Tahun Baru Cina
12/02/2021 03:58 PM
BEIJING, 12 Feb — Pemimpin beberapa negara asing dan pertubuhan antarabangsa tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada rakyat China.
Antaranya Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva yang turut menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di negara Asia lain.
“Semoga tahun 2021 yang juga tahun lembu mengikut zodiak Cina membawa kesejahteraan, kemakmuran dan kesihatan buat semua.
“Lembu merupakan simbol kerajinan, ketekunan dan kejujuran.
“Sifat mulia tersebut amat diperlukan dalam usaha membina semula dunia pasca pandemik,” ujar Georgieva.
Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Audrey Azoulay menyatakan pada tahun lalu, seluruh dunia mengharungi kegetiran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Justeru katanya, pandemik mengingatkan kita supaya mengambil tindakan tepat pada waktunya untuk membaiki keretakan dan menggalakkan simbiosis semula jadi secara harmoni.
Presiden Pakistan, Arif Alvi pula mengulangi rasa syukurnya atas bantuan China dalam membendung wabak COVID-19 dan program pemvaksinan.
Beliau berkata ikatan persahabatan kukuh antara Pakistan dan China tidak hanya terletak pada kerajaan kedua-dua negara, malah bergantung kepada kemesraan dalam kalangan rakyat.
Selain menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baru Cina, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut meluahkan perasaan optimisnya terhadap tahun baharu ini.
Sementara itu, dengan penaiktarafan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai kedua-dua negara bulan lalu, ia disifatkan sebagai satu petanda baharu dalam perkembangan hubungan New Zealand-China.
Tiada larangan kenderaan barangan di jalan raya semasa perayaan Tahun Baru Cina