Mayat lelaki reput terdampar di Pantai Bachok
13/02/2021 05:56 PM
BACHOK, 13 Feb — Polis menemukan mayat seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan reput, terdampar di pesisir pantai Kuala Kandis, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata mayat yang hanya berpakaian seluar pendek warna gelap ditemukan dalam keadaan tertiarap kira-kira 20 meter dari gigi pantai oleh seorang penduduk pada 8.03 pagi.
“Polis menerima laporan mengenainya pada 9.17 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian yang jauh dari perkampungan nelayan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Yusrizal berkata siasatan awal mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia kira-kira 10 hari lepas dan dipercayai hanyut dibawa ombak sebelum terdampar di kawasan pantai itu.
Beliau berkata, identiti, keturunan dan umur mangsa gagal dikesan kerana mayat itu dalam keadaan reput dan setakat ini polis mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.
“Kita meminta orang awam yang kehilangan keluarga tampil membuat aduan,” katanya sambil memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk dibedah siasat.