Misteri cinta Wany
© Provided by Berita Harian Wany Hasrita tidak pernah menjadikan pengalaman pahit perceraian ibu bapa sebagai penghalang untuknya menerima cinta lelaki. – Foto Wany Hasritabhhip
KUALA LUMPUR: Cukup mengerti cinta tidak semudah untuk dilafaz atau diungkapkan, penyanyi jelita, Wany Hasrita, 29, tetap berharap dipertemukan jodoh dengan lelaki baik yang mampu membahagiakannya.
Mungkin harga sebuah cinta terlalu tinggi nilai. Sukar menyerahkan hati, selagi tiada cinta dalam jiwa. Jadi, tidak mudah bagi sesiapa menakluki hati penyanyi lagu Menahan Rindu itu jika tiada ketulusan.
Cinta, boleh datang dan pergi, tetapi jejak lelaki ‘belahan jiwa’ yang mampu menyayanginya sepenuh hati bukan mudah untuk dicari.
Biarpun pernah melalui pengalaman pahit perpisahan orang tua ketika berusia 12 tahun, namun penyanyi tinggi lampai itu tidak sesekali menutup pintu hati menerima cinta lelaki.
Seperti gadis lain, Wany tetap menyemat impian merasai pengalaman cinta dan dicintai, namun soal jodoh diserahkan kepada ketentuan takdir.
Tatkala ditebak, mungkin ada seseorang yang istimewa bertakhta di hatinya, Wany yang kini sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Cinta Khayalan enggan terbuka membicarakan soal cinta.
Akuinya, pengalaman silam yang pernah mengheret dirinya dan teman artis melalui kontroversi percintaan menjadi iktibar untuknya tidak terlalu terbuka berbicara soal hati.
Lembut suara membuka bicara, Wany mengakui: “Saya belajar daripada pengalaman lalu. Iktibar kisah rakan artis juga menjadikan saya memilih merahsiakan terlebih dahulu kisah hubungan cinta. Biarlah ia kekal misteri buat masa ini.
“Biarlah ada tarikh dan segala-galanya sudah pasti, barulah saya buka mulut berkongsi. Saya tidak tahu apa akan terjadi sepanjang perhubungan ini.
“Jadi, saya pilih untuk simpan dahulu rahsia hati. Bagi saya, tidak salah mengikut jejak langkah pelakon, Mira Filzah yang hanya mendedahkan calon suami pada majlis pernikahan,” katanya kepada BH Online.
Perpisahan ibu bapa ketika masih di bangku sekolah bukanlah penyebab Wany atau nama sebenarnya, Nursyazwany Hasrita Hasbullah belum berumah tangga pada usia mencecah matang. Sebaliknya, wanita kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu menegaskan, segala-galanya sudah tertulis di Luh Mahfuz.
“Trauma, tidak… Saya tidak pernah trauma dengan pengalaman dilalui oleh ibu bapa. Malah, ibu tidak pernah memomokkan mengenai liku alam rumah tangga, sebaliknya sering menyatakan jodoh dan ketentuan takdir setiap manusia tidak sama.
“Mungkin jodoh ibu dan ayah tidak panjang, namun nasib saya mungkin berbeza. Jadi, ibu tidak pernah menghalang saya untuk mendirikan rumah tangga. Dia yakin saya boleh mengecap kebahagiaan dengan cara sendiri.
“Jujurnya, perancangan mahu mendirikan rumah tangga sudah ada, tetapi saya mahu melunaskan impian yang belum tercapai sebelum berkahwin. Sebelum ini, saya bercita-cita mahu menghadiahkan ibu sebuah rumah.
“Alhamdulillah, impian ini sudah tertunai, tahun lalu. Kini, saya memiliki impian baharu iaitu membelikan sebuah rumah lagu untuk ayah pula,” kata Wany.
Meskipun, ibu bapa sudah 17 tahun berpisah, namun hubungannya dengan bapanya tidak pernah terputus. Malah, mereka tetap akrab dan tidak pernah sekelumit pun menyimpan dendam kepada lelaki itu.
Akuinya, mungkin disebabkan ibunya tidak lagi berkahwin selepas perpisahan, jadi hubungannya dengan bapa kekal utuh kerana tiada lelaki lain boleh dijadikan tempat untuknya bersandar mahupun bergantung harap.
“Syukur, hubungan saya dengan ayah tidak pernah bermasalah walaupun selepas berlaku perceraian. Ibu tidak menghalang saya berbaik dengan ayah.
“Mungkin juga ibu tidak pernah berkahwin lain, jadi saya tiada bapa tiri menyebabkan hubungan saya dan ayah terus kekal baik.
“Malah, hubungan kami tetap akrab biarpun ayah sudah memiliki keluarga baharu. Ayah juga kini memiliki tiga cahaya mata yang masih kecil. Saya juga baik dengan adik beradik lain,” katanya.
Bekas penuntut jurusan perubatan di Management & Science University (MSU), Shah Alam itu berkata, dia kini menyemat impian mahu menghadiahkan bapanya rumah baharu.
“Sebagai anak, saya perlu berlaku adil. Selepas ibu memperoleh rumah, saya perlu fikirkan perasaan ayah. Jadi, saya terpaksa mempertimbangkan keputusan mahu mendirikan rumah tangga selagi impian ini belum tertunai.
“Bagaimanapun, saya tidak mampu menolak ketentuan takdir sekiranya jodoh saya sudah sampai depan mata. Saya tetap akan berkahwin,” katanya yang mengharapkan 2021 menjadi tahun untuknya mengecap kebahagiaan sama ada dari sudut peribadi, kerjaya dan perniagaan.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) itu tidak menafikan kerjaya nyanyian agak terjejas.
Namun, kata Wany, dia beruntung memiliki sumber pendapatan menerusi pelbagai cabang lain.
Selain lakonan dan perniagaan, Wany berkata, dia bernasib baik apabila banyak menjalankan kempen mempromosikan produk menerusi platform media sosial.
Bagaimanapun, katanya, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Terlalu Memuja dan Belenggu Rindu itu berkata, dia tidak mahu terlalu bergantung kepada kerjaya nyanyian kerana tidak pasti sampai bila mampu bertahan.
“Selagi peminat menerima, saya akan terus menyanyi. Tetapi, pada masa sama, saya perlu membuat persediaan lain demi masa depan. Alhamdulillah, saya sudah melancarkan produk makanan tambahan, tahun lalu. Kini, saya ingin menerokai bidang makanan.
“Melihat produk makanan mendapat sambutan menggalakkan pada musim PKP menyebabkan saya tertarik mahu mencubanya. Ini adalah persiapan masa depan. Saya sendiri tidak pasti sampai bila akan terus diterima, jadi perancangan masa depan perlu ada,” katanya yang gembira apabila video muzik Cinta Khayalan mendapat sambutan apabila berjaya mencatat lebih 100,000 tontonan dalam YouTube dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Wany berkata, dia tidak menyangka keputusan mencuba muzik lebih segar berjaya mendapat tempat di hati peminatnya.
Namun, katanya, dia tidak akan sesekali melupakan ‘muzik meleleh’ yang berjaya melonjakkan namanya hingga dikenali dalam persada muzik tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd