Syarikat Malaysia di gesa peka terhadap perubahan iklim dagangan di Myanmar — Pakar ekonomi
16/02/2021 08:55 PM
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, 16 Feb — Tiada petunjuk khusus mengenai perniagaan Malaysia menarik diri dari Myanmar setelah rampasan kuasa awal bulan ini, tetapi mungkin ada yang memikirkannya semula jika keadaan bertambah buruk, kata Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Dr. Evelyn S. Devadason.
Profesor di Universiti Malaya itu berkata Myanmar juga tidak mungkin menjadi pilihan pelaburan bagi pelabur baharu, sekurang-kurangnya dalam tempoh darurat sepanjang tahun, kerana ketidakpastian akibat rampasan kuasa itu.
“Saya fikir jika keadaan bertambah buruk, mungkin ada penarikan keluar modal besar-besaran dari Myanmar. Buat masa ini, kami tidak dapat menduga apa perancangan tentera. Walaupun mungkin rampasan kuasa tamat selepas setahun, pelabur antarabangsa di Myanmar harus menimbang keadaan politik tidak menentu pasca kudeta,” katanya kepada Bernama.
Evelyn berkata perniagaan antarabangsa di Myanmar harus menjangkakan akan berlaku perubahan, seperti peralihan rejim atau pindaan dasar baharu, yang berkemungkinan menjejaskan iklim pelaburan di negara itu.
“Ada juga kemungkinan juga persekitaran pelaburan akan menjadi lebih buruk. Selain itu, kerajaan junta mungkin tidak mesra dengan syarikat kerana firma itu melabur di Myanmar menerusi asas pasaran ketika negara itu mengorak langkah ke arah pemerintahan demokratik,” katanya.
Evelyn menyatakan perniagaan dan pelabur Malaysia di Myanmar juga harus bersedia berdepan sekatan lebih ketat Amerika Syarikat (AS) ke atas syarikat Myanmar jika keadaan semakin buruk.
“Secara tidak langsung ia akan mempengaruhi dagangan dua hala. Ini tidak hanya menjejaskan keyakinan pelabur, tetapi jika sekatan itu melibatkan syarikat Myanmar yang mempunyai hubungan pelaburan besar dengan Malaysia, ia boleh menimbulkan masalah, ” katanya.
Evelyn menyatakan perniagaan Malaysia di Myanmar melibatkan industri minyak dan gas, hartanah, pembuatan, hotel dan pelancongan, dan pertanian.
Beliau berpendapat, syarat perdagangan mungkin tidak banyak berubah untuk tempoh terdekat berdasarkan corak semasa dagangan, namun menegaskan, jika pelaburan skala besar terjejas, pasti dagangan dua hala dengan Myanmar akan merosot kelak.
Pada 2019, Malaysia adalah antara 10 pelabur terbesar di negara ini dengan pelaburan bernilai sekitar US$2 bilion,
Menurut pangkalan data Comtrade Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah perdagangan dua hala meningkat 4.8 peratus antara 2012 dan 2019, daripaa US$888 juta pada 2012 kepada US$931 juta pada 2019. Malaysia kekal sebagai pengeksport utama ke Myanmar.
Khamis lalu, Presiden AS Joe Biden mengeluarkan perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan ke atas Myanmar sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Perintah itu menyasarkan 10 individu dan tiga entiti yang mempunyai kaitan dengan tentera yang bertanggungjawab melakukan kudeta itu.
Mengenai kesan rampasan kuasa itu buat rantau ini, Evelyn berkata walaupun hubungan ekonomi sedia ada dalam blok itu tidak akan banyak berubah kerana “demokrasi bukan syarat untuk menjadi anggota ASEAN,” ia akan menjejaskan langkah ke arah intergrasi ekonomi Myanmar dengan ASEAN.
Menurutnya tindak balas ASEAN sebagai sebuah blok terhadap rampasan kuasa juga mempengaruhi integrasi blok itu sendiri dengan negara rakan kongsi serantau, terutama AS dan negara-negara lain yang telah mengutuk keras tindakan kuasa tentera itu.
Kudeta itu, katanya, berlaku ketika Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengumumkan penurunan ketara sebanyak 31 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara.
“Dari perspektif itu, rampasan kuasa ini menjejaskan usaha ASEAN untuk mengukuhkan hubungannya dengan pihak luar,” katanya
Pada 1 Februari, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa dan menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) atas tuduhan menipu undi ketika 8 November.
Tentera juga mengumumkan perintah darurat selama setahun di negara itu.
Sejak itu, tunjuk perasaan terus berlaku di bandar besar di seluruh negara, menuntut tentera mengembalikan pemerintahan awam. Media antarabangsa melaporkan lebih 384 individu ditahan sejak rampasan kuasa.
Jumlah dagangan luar China meningkat 13.6 peratus