Israel tarik sekatan, kumpulan pertama vaksin Sputnik V Rusia tiba di Gaza
18/02/2021 11:34 AM
GAZA, 18 Feb — Kementerian Kesihatan Hamas di Semenanjung Gaza yang dikepung pada Rabu menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 Sputnik V Rusia, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Hari ini, kami menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 buat pertama kali sejak pandemik ini menular di Semenanjung Gaza,” kata Pengarah Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Muneer al-Borsh.
Menurutnya penghantaran itu mengandungi 2,000 dos vaksin dan mencukupi untuk 1,000 orang.
“Penghantaran vaksin itu ke Semenanjung Gaza melalui pusat laluan komersial Kerem Shalom yang dikawal Israel, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah,” kata al-Borsh.
Di Kerem Shalom, Pengarah Penjagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan Hamas, Majdi Dhair, memberitahu wartawan kempen vaksinasi di Semenanjung Gaza akan bermula pada Khamis pagi.
Dhair menyatakan vaksin itu akan diberi kepada petugas perubatan di unit rawatan intensif, pesakit pemindahan organ, warga emas dan pesakit dengan penyakit kronik.
“Kami masih tidak mempunyai maklumat mengenai pengiriman lebih banyak vaksin ke Semenanjung Gaza, yang mempunyai lebih dua juta penduduk,” tambahnya.
Israel pada Isnin menolak untuk membenarkan vaksin COVID-19 dihantar ke Semenanjung Gaza, menyebabkan kerajaan Palestin meminta campur tangan antarabangsa dalam isu tersebut sebelum Israel menarik larangan itu pada Rabu.
Semenanjung Gaza, yang menghadapi sekatan darat, laut dan udara oleh Israel sejak 2006, telah mencatatkan sejumlah 53,871 kes COVID-19 sejak ia merebak di Palestin pada Mac 2020.
Jet Israel serang markas tentera di Gaza