‘Betul kena sihir, bukan gimik’
KUALA LUMPUR: Syarikat rakaman Warner Music Malaysia menafikan video dimuat naik artis naungan mereka, Andi Bernadee yang mendakwa terkena ilmu hitam, sebagai gimik.
Jurucakap Warner Music Malaysia menjelaskan, apa yang terjadi kepada Andi bukanlah perkara yang dibuat-buat penyanyi itu.
“Selepas Andi memuat naik sebuah video mendakwa dirinya dianiaya, ramai tertanya-tanya mengenai keadaannya.
“Tidak kurang juga bertebaran andaian dan spekulasi mendakwa semua itu adalah gimik.
“Kami mahu menyatakan perkara itu bukan gimik. Andi sekarang tidak sihat, namun, keadaan dirinya masih terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, BH Online melaporkan dakwaan Andi dirinya menjadi mangsa dengki hingga disihir seperti pengakuan dibuat melalui rakaman video di Instagram (IG).
Melalui video dimuat naik, Andi atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile menunjukkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya.
Tidak ketinggalan, Andi mendakwa katak kering ditemui atas bumbung kediamannya.
Dalam kenyataan itu, Warner Music Malaysia juga mendoakan penyanyi lagu Satu Peluang dan Donde itu cepat sembuh.
“Besar harapan kami dan peminat untuk melihat Andi pulih seperti sedia kala,” kata kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
PUJUK ISTERI DENGAN PINANG SEMULA – AKHIRNYA USAHA SHUK BERJAYA, NAFI GIMIK