Prayut terselamat undi tidak percaya
Prayut Chan-o-cha Foto: Chaiwat Subprasom/SOPA Images via ZUMA Wire/dpa
20/02/2021 04:23 PM
BANGKOK, 20 (Feb — Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha dan sembilan anggota kabinetnya terselamat daripada undi tidak percaya yang diusulkan oleh pembangkang dalam Parlimen hari ini.
Diterajui oleh parti pembangkang, debat selama empat hari bermula Selasa lalu berakhir dengan proses pengundian yang menyaksikan Prayut, yang juga Menteri Pertahanan, memperoleh 272 undi sokongan, 206 undi menentang serta tiga terkecuali.
Undi tidak percaya diusulkan oleh pembangkang selepas mendakwa Prayut dan barisan kabinetnya gagal menguruskan pelbagai isu dalam negara termasuk salah urus ekonomi, wabak COVID-19 serta isu rasuah.
Sembilan anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Jurin Laksanawisit juga berjaya mendapat undi selesa.
Ini merupakan undi tidak percaya kali kedua buat kerajaan pimpinan Prayut sejak mengambil alih jawatan itu pada 2019 manakala kali pertama Prayut, pemimpin rampasan kuasa tentara dan kemudian menjadi perdana menteri, dan lima menteri kabinet terselamat daripada usul tersebut Februari tahun lalu.
Dalam pada itu, lewat hari ini, kumpulan prodemokrasi bercadang untuk berkumpul di Parlimen untuk mengulangi tuntutan perubahan pucuk pimpinan negara.
Polis berkata lebih 10,000 anggota polis akan dikerahkan untuk mengawal keadaan sekitar ibu negara itu hujung munggu ini.
Sejak pertengahan Julai tahun lalu, kumpulan prodemokrasi mengadakan protes jalanan di Bangkok dan bandar raya lain bagi menuntut peletakan jawatan Prayut, meminda Perlembagaan dan reformasi monarki.
Sabtu lalu, kumpulan prodemokrasi kembali ke jalanan di Bangkok susulan penahanan empat pemimpin utama mereka yang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand, yang juga dikenali sebagai ‘lèse-majesté’, kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lalu.
Isu usul undi percaya, tidak percaya dibangkit di Dewan Rakyat hari ini