China, Brunei bincang isu Myanmar

20/02/2021 04:59 PM

BEIJING, 20 Feb — Menteri Luar China, Wang Yi pada Jumaat menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan bin Pehin Yusof untuk membincangkan hubungan dua hala dan isu Myanmar.

Erywan mengucapkan terima kasih atas bantuan vaksin kecemasan daripada China yang mencerminkan persahabatan sejati kedua-dua negara bersama susah senang pada saat getir membendung COVID-19, selain menggambarkan erti sebenar perkongsian strategik Brunei-China.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan diplomatik China-Brunei.

Wang Yi menyatakan bantuan vaksin yang dihulurkan sesegera mungkin mengikut keperluan Brunei, memperlihatkan sokongan China terhadap negara itu dalam perjuangan memerangi COVID-19.

China juga bersedia memperhebat sinergi dengan Brunei.

Menyentuh situasi semasa Myanmar, Erywan berkata, bergantung kepada rakyat Myanmar untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Selaku pengerusi ASEAN, Brunei berharap keadaan di Myanmar kembali stabil secepat mungkin.

Tambah beliau, ASEAN sedang mempertimbangkan untuk mengadakan dialog dengan Myanmar, dan bersedia mengekalkan komunikasi rapat dengan China dalam isu berkenaan.

Wang Yi pula menyatakan sebagai jiran baik Myanmar, China sentiasa menyokong kestabilan dan pembangunan negara tersebut.

Situasi Myanmar juga berkait rapat dengan pembinaan komuniti ASEAN serta proses integrasi blok itu.

Katanya, masalah dihadapi Myanmar adalah urusan dalaman yang perlu diselesaikan secara damai dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang.

Sementara itu, peralihan demokratik di negara itu harus didorong dengan teratur.

China menyokong ASEAN memainkan peranan positif dalam hal ini mengikut kaedahnya tersendiri yang menjunjung prinsip tidak campur tangan serta konsensus dicapai melalui rundingan.

ASEAN, selaku pertubuhan serantau yang matang, diyakini mempunyai kebijaksanaan politik untuk membantu Myanmar mengharungi kesukaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *