Zul Yahya enggan namanya dikait dengan jemaah tabligh
© Provided by Harian Metro ZUL Yahya berharap dirinya terus istiqamah. najiy.jefri
Kuala Lumpur: Demi menjaga nama baik jemaah tabligh, pelakon Zul Yahya enggan namanya dikaitkan dengan kumpulan terbabit.
Zul berkata, banyak perkara yang dipelajari sepanjang bersama dengan jemaah tabligh dan berharap dirinya terus istiqamah.
“Jangan kaitkan saya dengan jemaah tabligh. Ini bagi menjaga kemuliaan nama jemaah tabligh. Saya tidak lagi bersama mereka.
“Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar daripada mereka. Semoga apa yang dikongsikan kepada saya selama ini dapat diamalkan dan doakan saya dapat terus istiqamah hingga mati. Selamat tinggal segala urusan bersama mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Sejak kebelakangan ini, nama Zul Yahya meraih perhatian di media sosial. Pelbagai isu dibangkitkan sehingga mengundang rasa tidak selesa sesetengah pihak.
Bermula dengan kontroversi menghentikan persekolahan anak-anak demi mengejar akhirat, isu makanan sunnah dan vaksin serta kelantangannya dalam mengeluarkan pendapat di media sosial menjadikan namanya kembali disebut-sebut.
Bagaimanapun, Zul Yahya enggan mengulas mengenai perkara itu yang kerap dimuat naiknya menerusi Facebook Live atau platform media sosial yang lain.
Sebelum ini, Zul Yahya aktif berkongsi aktiviti keluar berdakwah menyebarkan agama Islam bersama kumpulan tabligh di Instagram.
Menurut Zul, dia tidak berpecah atau mempunyai masalah dengan jemaah tabligh sehingga mengeluarkan kenyataan terbabit.
“Tak bersama bukan bermaksud berpecah. Masing-masing berjalan dengan jalan yang sama iaitu Allah dan Rasul,” katanya.
Sumber : New Straits Times Press (M) Bhd
“JANGAN ADA TV LAH… HANYA JALANKAN TUGAS” – JAWAB ZUL ISU FOTO ‘SWEET’ DENGAN RUHAINIES