Polis tahan ‘Datuk’ palsu dan penyamar Kerabat Diraja Kelantan


Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan kad kerabat palsu yang menggunakan nama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V untuk mendapatkan gelaran Datuk

07/03/2021 09:27 PM

KOTA BHARU, 7 Mac — Polis Kelantan menahan seorang lelaki yang dipercayai menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu dan seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai Kerabat Diraja Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata penahanan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pihak Istana Kelantan, 25 Feb lepas berhubung ada pihak memalsukan dokumen dan menyamar penerima anugerah Datuk daripada Istana Kelantan.



Beliau berkata hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang penjawat awam berusia 48 tahun di Machang, pada 27 Feb lepas.

Dalam serbuan itu, polis merampas satu kad nama yang tertera gelaran ‘Datuk’ dan siasatan lanjut mendapati dia mendapatkan kad itu daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai Kerabat Diraja Kelantan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata susulan itu, polis kemudiannya membuat satu lagi serbuan di Tanah Merah dan menahan seorang lelaki berusia 69 tahun selain turut merampas beberapa dokumen, kad dan surat tertera gambar serta carta Istana Kelantan.

“Ketika serbuan suspek didapati sedang berurusan dengan satu pihak bertujuan meminta sumbangan. Selain itu, polis juga menemukan lima kad Ahli Istana Balai Besar, satu cop tertulis Kerabat Diraja bersama suspek.



“Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai hubungan dengan pihak istana dan menggunakan maklumat palsu untuk menyamar,” katanya.

Shafien berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dan melakukan penyamaran, Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan surat istana dan Seksyen 473 kerana memiliki cap palsu.

“Suspek berusia 69 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Tumpat serta Mahkamah Majistret Machang pada 8 Mac (esok) manakala suspek berusia 48 tahun akan dijadikan saksi dalam kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shafien memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan sewenang-wenangnya menggunakan maklumat palsu dan mengaitkan dengan Istana Kelantan.



“Untuk makluman pihak Istana Kelantan tidak pernah mengeluarkan sebarang kad nama bagi mana-mana individu yang dianugerahkan gelaran Datuk dan hanya menyampaikan watikah.

“Berkaitan kes seumpama ini polis Kelantan meminta agar mana-mana individu yang menerima anugerah Datuk palsu atau meragukan agar tampil untuk membantu siasatan,” tambahnya.

Polis Kelantan keluarkan lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah, negeri



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button