Giroud bawa Milan ke separuh akhir

NAPLES: AC Milan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas Olivier Giroud meledak gol penting dalam keputusan seri 1-1 di Napoli untuk kemenangan agregat 2-1 ke atas pesaing Serie A itu.

Giroud menemui sasaran dua minit sebelum rehat selepas gerakan menarik dilakukan Rafael Leao, yang sekali lagi menjadi tonggak penting dalam kemenangan ketiga Milan ke atas Napoli bulan ini.

Gol ke-13 penyerang Perancis itu musim ini menebus kekecewaannya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti di pertengahan babak pertama.



Skuad kendalian Stefano Pioli kini mempunyai peuang bertemu tetangga Milan, Inter di separuh akhir selepas pesaingnya membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik suku akhir bertemu Benfica.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini, dengan semangat itu kami mampu mengimpikan apa saja.

“Pada pusingan seterusnya akan ada satu lagi perlawanan sukar bertemu Inter atau Benfica, tetapi dengan semangat ini kami mampu pergi ke mana saja,” kata Giroud.

Selepas perlawanan, Leao ditunjukkan video larian Ruud Gullit untuk gerakan gol di Napoli pada tahun 1998.



“Ia sama. Itu yang saya cuba lakukan, menuju ke arah pemain, begitu cara saya memainkan peranan. Jika saya tidak menjaringkan gol, saya cara rakan sepasukan. Saya lihat Giroud di sana,” kata Leao.

Milan tidak pernah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah sejak dinobatkan juara buat kali ketujuh dan terakhir pada tahun 2017.

Victor Osimhen menjaringkan gol dalam masa kecederaan namun ia tidak mencukupi untuk Napoli meneruskan kempen cemerlang mereka kali ini.

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading