KERAP TAMPIL SOLO – AZMI SAAT TAK LUPA, KONGSI REZEKI DENGAN CALIPH BUSKERS
“Bermula 2018 lalu, saya mendapat tawaran menjayakan sebuah program secara solo disebabkan ia permintaan produksi. Saya akui, ia mencetuskan sedikit ketegangan antara saya dan anggota lain Caliph Buskers.
“Mereka cuma risau saya akan ketepikan kerjaya bersama, namun akhirnya mereka faham juga. Peluang yang datang dalam industri lain-lain dan kena sesuaikan juga dengan permintaan yang menuntut saya bergerak solo.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah mengabaikan tawaran dengan mereka dan pasti akan lakukannya bersama. Hubungan kami masih tetap akrab dan jika ada rezeki lebih, saya tidak akan lupa untuk kongsi dengan mereka,” itulah kata-kata penyanyi Azmi Saat, 34.
Azmi yang dilihat kerap tampil solo sekarang itu mengakui dia sebenarnya pernah berselisih faham dengan anggota Caliph Buskers yang lain, beberapa tahun lalu.
Penyanyi lagu ‘Tulus’ itu berkata sengketa tersebut timbul disebabkan rakan kumpulannya risau jika dia berhasrat akan terus membawa haluan sendiri selepas mendapat tawaran menyanyi solo.
Bagaimanapun, Azmi bersyukur ia tidak berlarutan panjang bahkan, dia juga tidak kedekut berkongsi rezeki lebih dengan ahli kumpulan yang lain
Azmi turut memaklumkan dia bukan sekadar membantu Caliph Buskers tetapi penyanyi jalanan lain juga. Baginya, dia tidak pernah jadikan alasan bergelar artis arus perdana pada ketika ini untuk menolak persembahan daripada rakan ‘buskers’ lain.
“Kadang kala, ada juga rakan ‘buskers’ lain yang memerlukan khidmat dan pertolongan untuk menyanyi. Kalau saya boleh lakukan, memang saya tidak kisah dan berusaha penuhi permintaan mereka,” jelasnya.
SEKELUARGA SELAMAT PULANG KE KL – ISTERI LAN SOLO KONGSI PROSEDUR RENTAS NEGERI