Pintu dialog sentiasa terbuka, China harap AS sehaluan capai permuafakatan
21/03/2021 05:18 PM
BEIJING, 21 Mac — Dialog strategik peringkat tinggi antara China dengan Amerika Syarikat (AS) yang diadakan di Anchorage, Alaska melabuhkan tirainya pada Jumaat waktu tempatan.
Berlangsung selama dua hari dialog itu menyaksikan kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Dialog itu tepat pada waktunya dan bermanfaat untuk meningkatkan persefahaman kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, China dan AS mengakui masih berselisih pendapat dalam beberapa isu.
Penganalisis berpendapat China telah memberikan isyarat jelas melalui dialog kali ini dan penyertaan China bertujuan menyelesaikan masalah bukan untuk bertelagah.
China telah menyatakan pendiriannya iaitu menentang campur tangan pihak luar dalam isu Taiwan, Hong Kong, Xinjiang dan Tibet yang merupakan urusan dalaman China.
Di samping itu, China menegaskan tekadnya untuk memelihara kedaulatan, keselamatan dan kepentingan sendiri.
Sementara itu, walaupun berselisih pendapat dengan AS, China tetap berusaha mencari persamaan dengan Washington.
Selain itu, China telah menerangkan pendiriannya dalam hubungan antarabangsa khususnya hubungan antara kuasa besar.
China mempertahankan “multilateralisme yang sebenar”, dan menentang konfrontasi antara blok.
Pintu dialog sentiasa terbuka dan AS diharap bertindak sehaluan dengan China dan saling menghormati untuk memperbaiki hubungan dua hala.