Polis siasat kes selebriti media sosial rentas negeri untuk berbulan madu

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes seorang selebriti media sosial dan suaminya yang dipercayai memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.

Pasangan ini sebelum itu sudah dipanggil polis untuk dirakam keterangan selepas kes mereka merentas negeri untuk berbulan madu di Johor, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata hasil siasatan lanjut mendapati pasangan itu memberi keterangan palsu berkaitan alasan mereka memohon kebenaran merentas negeri.



Susulan itu, beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan sabit kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000.

“Pihak polis sudah menjalankan siasatan menyeluruh selepas wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan pasangan itu kepada polis pada Sabtu lalu.

“Pada keterangan awal, mereka mengatakan mahu ke Johor atas alasan perniagaan, namun siasatan lanjut mendapati pasangan ini sudah membuat persiapan awal dengan membuat tempahan hotel secara dalam talian pada Disember 2020 untuk menyambut ulang tahun perkahwinan pada 17 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial pasangan berusia 20-an itu dikatakan menggunakan alasan urusan perniagaan untuk merentas negeri, tetapi sebaliknya pergi berbulan madu di sebuah pusat peranginan di Johor Bahru dan memuat naik gambar mereka di media sosial Jumaat lalu.



Selebriti media sosial itu dikatakan turut memuat naik ‘tip’ bagaimana mendapatkan kebenaran polis untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu.

Ashari berkata, pihaknya juga akan mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pasangan itu dikenakan tindakan mengikut seksyen lain yang bersesuaian termasuk atas kesalahan memberi keterangan palsu.

“Orang ramai diingatkan tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau kecemasan dengan menjalankan program atau aktiviti peribadi lain serta bercanggah dengan alasan diberikan kepada polis ketika memohon pergerakan rentas negeri.

“Dalam usaha memerangi penularan COVID-19 ini, semua individu perlu memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.



Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran PKP diminta menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Sementara itu, Ashari berkata, semakan mendapati pasangan terbabit hadir ke Balai Polis Wangsa Maju kira-kira jam 2 petang Isnin lalu memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, Johor, atas urusan perniagaan.

“Mereka mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat dan berdasarkan dokumen dikemukakan, permohonan rentas negeri itu diluluskan polis bermula 7 hingga 20 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, ketika diambil keterangan kelmarin, pasangan itu mengesahkan mereka menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana dan mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka.



“Sebelum ini, tiada kertas siasatan dibuka ke atas mereka kerana semua keterangan dan bukti diperlukan polis sudah dikemukakan pasangan terbabit.

“Bagaimanapun, polis terus menjalankan siasatan lanjut selepas meneliti semula kapsyen dimuat naik wanita itu melalui media sosial yang jelas mengelirukan kerana mendakwa mendapat kebenaran merentas negeri untuk berbulan madu,” katanya.

BILA WANITA MAHU JADI MADU AYDA, TERTARIK DENGAN SIKAP NABIL



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button