PAU 2020 – Perak Gasak ‘Kluster Pengkhianat’ UMNO

Pengerusi BPUN Perak Tegur ‘Kluster Pengkhianat’ UMNO

Dato Saarani Mohamad
Pengerusi BPUN Perak

Ucaptama BPUN Perak

1. Pertamanya, sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih mencengkam, kita masih dikurniakan oleh-Nya, keafiatan akal dan jiwa, dilapangkan ruang dan waktu untuk sama-sama menggalas tanggungjawab merencana untung nasib agama, bangsa dan negara.
 
2. Kepada seluruh ahli akar umbi UMNO serata negara yang tidak dapat bersama dalam perhimpunan kali ini kerana terpaksa mengikuti dari kejauhan, usahlah berasa gundah dan bermuram durja.

Berbanggalah kerana andalah sebenar-benar ahli yang setia. Anda semua adalah sebenar-benar ahli yang sentiasa betah mendukung panji-panji parti – tatkala susah atau pun senang.

Yang setia berpaut pada tali perjuangan – tatkala parti kuat atau pun lemah. Yang tidak pernah tergamak berganjak haluan – tatkala parti menang atau pun kalah.
 
3. Bagi memulakan ucapan ini, saya mengajak semua hadirin untuk mendalami mafhum firman Allah SWT yang saya akan bacakan sebentar lagi.



Ayat ini mungkin biasa kita dengar setiap kali perhimpunan agung UMNO. Namun, ayat inilah juga yang sering meniti di bibir kita semua selepas dua parti Melayu terbesar negara – UMNO dan PAS – mengambil keputusan bersejarah memeterai ikatan kerjasama atas nama Muafakat Nasional.
 
4. Ayat yang saya maksudkan ialah firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran Ayat 103, yang bermaksud;
 
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam,) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”
 
5. Ayat ini menghimbau ingatan kita kepada keindahan perpaduan. Ayat ini menyegarkan semula ingatan kita kepada tangisan di dewan ini ketika pimpinan kedua-dua parti bergabung membentuk dan menegakkan piagam Muafakat Nasional.

Ayat ini mengingatkan kita kepada nostalgia ketika pimpinan UMNO-PAS berganding tangan berceramah ke serata ceruk – mengajak kepada perdamaian; menyeru kepada perpaduan dan berkasih sayang.
 
6. Natijah kepada perpaduan ini cukup besar. Perpaduan ini bukan sahaja mengakhiri persengketaan politik selama lebih enam dekad dua parti Melayu ini, tetapi telah membina naratif politik yang segar, malah dapat diterima oleh segenap lapisan rakyat termasuk orang bukan Melayu.

 7. Saya masih ingat bagaimana muafat ini dimomok dengan kejian dan cacian. Pihak musuh menanam kesangsian bahawa muafakat ini tidak akan mampu bertahan.

Namun, sudah tertulis dalam sejarah, bagaimana gelombang muafakat ini bukan sahaja membawa kemenangan dalam pilihan raya kecil enam kali berturut-turut, malah telah menumbangkan rejim Pakatan Harapan yang hanya mampu bertahan selama 22 bulan.



Naratif Sempit Terhadap UMNO

  8. Dan sejak itu, naratif perpaduan ummah menjadi istilah yang begitu lincir mewarnai politik negara. Semua orang mahu bercakap mengenainya.

Kalau dahulu musuh UMNO mengisahkan ia sebagai naratif sempit dan membawa perpecahan, kini mereka cuba menggilap naratif ini sebagai satu formula indah dan membawa kepada kesatuan.
 
9. Watak-watak yang dahulunya berkomplot menjatuhkan UMNO, tetapi kini bersama UMNO dalam kerajaan, juga sudah bertukar nada. Kalau dahulu, mereka berasa alergik dan jijik bercakap mengenai perpaduan ummah, kini mereka begitu fasih menuturkannya.

Ketika cengkaman kerusi pemerintahan semakin lemah dan melonglai, mereka mula nyaring berbicara soal kesatuan dan kebersamaan.

PAU 2020

10. Namun, UMNO tidak mudah dilenturkan dengan tipu daya. UMNO tidak mudah dilemahkan dengan dendam muslihat. Di hadapan kita mereka berkisah soal pentingnya perpaduan, tetapi di belakang mereka licik mencari jalan untuk meruntuhkan.



Di hadapan kita mereka ligat berhujah mengenai penyatuan, tetapi di belakang, mereka cuba membina pengaruh dengan memacak duri-duri perpecahan.
 
11. Realitinya, watak-watak ini bukan mahu bersama UMNO untuk membina jambatan muafakat dan perpaduan. Watak-watak ini sebenarnya cuba berselindung di sebalik naratif perpaduan untuk mencari talian hayat demi mengekalkan diri di tampuk kuasa.

Percayalah, helah politik sebegini bukan jalan yang akan membawa kita ke arah perpaduan, tetapi ia adalah hipokrasi politik yang hanya akan membawa kita ke lembah kehancuran.
 
12. Setakat ini, saya telah melatarkan ucapan ini dengan membawa dua perspektif penting, iaitu perpaduan ummah yang menyatukan dan hipokrasi politik yang merosakkan.

Saya mengajak untuk kita semua mengertikan baik-baik dua perkara ini supaya kita sama-sama dapat memahami rasional di sebalik beberapa keputusan penting yang dibuat oleh Majlis Tertinggi parti sebelum ini.
 
13. Antaranya ialah membuat keputusan bahawa tidak akan ada kerjasama dengan BERSATU dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Mengambil kira perkembangan senario politik yang semakin tidak menentu dan penuh mencabar, UMNO tidak punya pilihan. UMNO perlu ada pendirian yang tuntas dalam menjaga hak dan kedudukannya.



Sebagai parti yang sudah menongkah arus politik bersilih ganti selama hampir 75 tahun, kedudukan dan kekuatan UMNO sewajarnya dihormati, bukan dikhianati.
 
 14. UMNO tidak boleh berpura-pura. UMNO mesti terbuka dan berterus-terang.

Malangnya, apabila UMNO bercakap soal mempertahankan hak dan kedudukannya, ada pula pihak yang menuduh UMNO  sengaja hendak meruntuhkan kerajaan.

Ada juga yang pantas menuduh UMNO gilakan pengaruh dan jawatan. Sedangkan, umum mengetahui, sejak awal kerajaan terbentuk, UMNO menyatakan ikrar untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional dan mempertahankan kerajaan sehingga tiba Pilihan Raya Umum Ke-15. Itulah juga pendirian parti sehingga hari ini.
 
15. Malah, ketika kerajaan hari ini diasak dengan bermacam ugutan dan desakan politik bertali-arus, UMNO kekal bersama dalam jamaah memastikan kerajaan ini dapat terus bertahan.

Lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 yang menuntut kerajaan peka dan responsif terhadap keperluan rakyat, UMNO yang mempunyai jumlah kerusi yang besar sentiasa berusaha mewujudkan kestabilan dan menjaga keharmonian dalam berjamaah.
 
16. Realitinya, UMNO tidak tamakkan darjat dan kekuasaan. UMNO selalu terbuka untuk menjalin kerjasama, tetapi UMNO tidak akan sanggup membiarkan parti dan ahli-ahlinya dibinasakan oleh amalan taqiyah atau tipu muslihat yang akhirnya merebahkan UMNO.



UMNO tidak boleh bacul dan dayus dalam mempertahankan panji-panji perjuangannya.
 
17. Mengambil pengajaran daripada siri pengkhianatan pada PRU-14 dan episod kecurangan ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, UMNO punya hak untuk berwaspada.

Melihat kerusi Parlimen menjadi komoditi politik dengan lelongan wakil rakyat yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini, maka UMNO berhak untuk berhemat menyusun langkah politiknya. UMNO perlu cermat mengenali siapa kawan dan siapa lawan.
 
18. Mengambil kira segala cabaran politik yang begitu getir, UMNO dan Barisan Nasional tidak mampu lagi berdepan rakan politik yang santun berbicara soal perpaduan, tetapi di belakang licik untuk melemahkan. Umpama tangan kanan memberi salam, tangan kiri menusuk belati!
 
19. Lantas, ada yang bertanya, kalau boleh berpadu dengan PAS, kenapa tidak dengan BERSATU? Kalau boleh berkomporomi dengan PAS, kenapa tidak dengan BERSATU.

Dalam hal ini, ingin saya tegaskan bahawa jangan ada yang mahu mempersoalkan kesetiaan UMNO terhadap Muafakat Nasional bersama PAS.

Ingatlah bahawa piagam ini tidak dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik. Ia dibentuk ketika UMNO-PAS tidak punya apa-apa. Diherdik dan dicaci sepanjang menjadi pembangkang, UMNO-PAS teguh bermuafakat.
 
20. UMNO tidak pernah secara senyap-senyap mencuri ahli PAS. PAS juga tidak pernah mencuri ahli UMNO. Dalam pilihan raya, ketika UMNO bertanding, PAS dan seluruh jenteranya setia membantu.



Sepanjang pertempuran di medan pilihan raya, PAS tidak pernah meletakkan calon bebas untuk mengalahkan UMNO. Pendek kata, UMNO dan PAS, keduanya saling menguatkan, bukan melemahkan.

Hubungan ini tidak dibayangi kesangsian, kerana muafakat yang terbina itu dipaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan.
 
21. Pendek kata, perpaduan ummah yang dirintis UMNO dan PAS bukan berkisar soal kepentingan politik semata-mata. Ia menongkah konteks yang luas dan melebar.

Perpaduan ummah ini dibina atas kesedaran pentingnya penyatuan umat Islam, tetapi tidak bermakna kita mahu menanam bibit permusuhan dengan kaum lain.

Malah sejarah membuktikan, UMNO tidak pernah lelah untuk menegakkan perpaduan nasional – yang selama ini menjadi kunci kepada kaharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.
 
22. UMNO tidak jumud untuk menutup pintu kerjasama dengan sesiapa pun. UMNO tidak rakus akan pengaruh dan kekuasaan. UMNO pernah merasai nikmat berada di persada kuasa.

UMNO juga pernah merasai betapa sakit dan perit erti kekalahan. UMNO juga pernah merasai pedihnya pengkhianatan. Semuanya membawa ibrah yang mematang dan mendewasakan.

UMNO boleh bekerjasama tetapi tidak akan sesekali berdiam atau mengalah dalam mempertahankan citra perjuangannya.
 
23. Bak ungkapan bijak pandai,
 
“Adat memegang kepercayaan orang, jangan sesekali menikam belakang. Adat memegang kekuasaan, jangan sesekali merosakbinasakan. Adat memegang kebebasan, jangan sesekali melanggar batasan.”
 
24. Pasca PRU-14 memperlihatkan UMNO menyusuri ranjau politik yang penuh liku dan mehnah. Selepas lebih 60 tahun berkuasa, UMNO diaibkan dengan bahana kekalahan.

Sebaik tumbang pada Mei 2018, ramai yang melihat UMNO akan menemui jalan penamat.

Ada yang meramalkan UMNO akan mati tanpa kuasa. Ketika itu, musuh-musuh UMNO dengan sinis ketawa menyatakan hayat UMNO sudah tiba di penghujung.
 
25. Ketika itu, tidak begitu ramai peduli siapa yang mahu mengemudi bahtera UMNO sebagai pembangkang. Ketika itu, ketahanan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu benar-benar teruji.

Ketika itu, UMNO diasak kiri dan kanan sehingga menggugat kesetiaan pemimpin dan ahlinya.

Lantas, ada pimpinan yang tidak mampu menahan ujian, lalu memilih meninggalkan panji perjuangan.
 
26. Dalam melewati ranjau yang berliku itu, institusi presiden menjadi sasaran. Bukan sahaja diserang oleh musuh yang mahu melihat UMNO mati secara total, tetapi juga datang dari dalam UMNO sendiri.

Ada segelintir dari kita yang menyangka menukar pimpinan akan menjadi jalan pintas untuk kita kembali ke tampuk kuasa.

Setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini pun, suara-suara mendesak penguduran presiden masih kedengaran.
 
27. Hakikatnya, bukan mudah untuk menakhoda parti yang menempa kekalahan sesudah lebih enam dekad berkuasa.

Selepas lebih 60 tahun berkuasa, tidak mudah untuk merangkak membiasakan diri sebagai pembangkang.

Selepas lebih 60 tahun berkuasa, tidak mudah untuk UMNO menjadi parti nombor dua dalam kerajaan.  
 
28. Namun, dalam meniti segala gembira dan rawan sejak sejarah pedih Mei 2018, beliau dipilih menjadi insan untuk memikul tugas berat itu.

Tidak pernah berganjak, tidak pernah mengalah walau berdepan tekanan, ugutan dan cacian.

Orang itu tidak lain tidak bukan, Presiden kita, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Terima kasih Datuk Seri Presiden.
 
29. Seperkara yang perlu dimengertikan baik-baik, oleh semua kita sebagai ahli UMNO. Kita telah diasuh untuk selalu menghormati institusi Presiden.

Kita telah diajar untuk sentiasa meraikan perbezaan pandangan. Namun jangan sesekali kita membiarkan perbezaan itu membawa kepada persengketaan sesama kita.

Kita boleh melontarkan kritikan dan pandangan, tetapi jangan sampai ia menghilangkan rasa hormat dan ketaatan kita kepada pemimpin.
 
30. Mengkritik dengan menghina dan mengaibkan bukan budaya UMNO. Pimpinan terdahulu selalu mengajar kita supaya sentiasa beradab dalam menegur pemimpin. Saling mengingatkan itu amalan mulia, tetapi jangan sampai menghakis nilai dan tatasusila.  
 
31. Pihak musuh sentiasa memerhatikan untuk mencari jalan dan peluang untuk melemahkan kita. UMNO perlu mempertahankan institusi parti, dengan mengutamakan kesatuan serta solidariti. Itu satu kemestian jika kita mahu mendepani cabaran politik yang kian rumit.
 
32. Kembalilah kepada tradisi UMNO yang mengurus perbezaan secara berhikmah dan bijaksana.

Kembalilah kepada kesatuan dan mencari jalan untuk saling mendamaikan, bukan mencari alasan untuk berseteru dan mengadu domba.

Ingatlah, UMNO tidak mampu membendung perpecahan di saat genting begini. Jangan ada antara kita menjadi punca kepada kebinasaan parti. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.
 
33. Percayalah, binasanya UMNO tidak akan menguntungkan sesiapa, malah merugikan terutamanya orang Melayu sendiri. Dapat sama laba, hilang sama rugi.

Dalam suasana politik yang kacau dan mengundang jelek di mata watan, sudah tiba masanya UMNO menjadi teladan dengan menjernihkan keadaan.

Mudah-mudahan, ia akan menyerlahkan citra UMNO sebagai penyegar nilai perpaduan, persaudaraan dan kasih sayang.
 
34. Iklim politik negara masih tidak menentu. Krisis politik, perlumbaan mengejar dan mempertahankan kuasa masih menjadi asbab yang mengancam kestabilan.

UMNO tidak boleh membiarkan diri daripada terbelenggu dalam semua ketidaktentuan ini. UMNO tidak boleh hanya bingkas berbicara soal survival politik kepartian, tetapi mencari solusi kepada survival rakyat yang kini berdepan segala macam kesusahan.
 
35. Keberadaan dalam kerajaan tidak sewajarnya mengikat UMNO daripada memberi teguran dan pandangan.

Keputusan untuk mempertahankan kerajaan sedia ada tidak sewajarnya membataskan UMNO dalam memperjuangkan hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat.  
 
36. Ketahuilah bahawa rakyat sedang memerhati. Rakyat sedang menilai bagaimana kerajaan ini sedang diurus dan ditadbir.

Dinamika politik hari ini membuatkan rakyat bebas berimaginasi dan cenderung membuat penghakiman terhadap prestasi kerajaan.

Walaupun kita bukan pemegang teraju pemerintahan Persekutuan, tetapi pimpinan UMNO yang berada dalam kerajaan perlu menonjolkan wibawa dan karisma UMNO.
 
37. Jangan pernah gusar dan ragu untuk menegur kebatilan dan ketidakcekapan kerajaan mengurus negara. Jangan pernah sangsi melontarkan idea andai ia membawa kebaikan kepada rakyat.

Jangan sesekali kita tunduk kepada tekanan dan godaan laba politik. Jangan biar imaginasi rakyat mempotretkan UMNO sebagai parti yang mementingkan pengaruh dan jawatan.
 
38. Ambillah iktibar daripada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang berpunca akibat defisit kepercayaan dan hilang sentuhan kepada rakyat.

Insafilah bahawa kejayaan sesebuah kerajaan bukan diukur atas janji manis dan retorika politik semata-mata, tetapi atas curahan khidmat dan bakti.
 
39. Jadilah pendengar dan penyampai yang setia kepada keluh-kesah rakyat. Selalulah berlapang dada dalam menerima teguran dan kritikan.

Jika kita tidak bersedia mempersiapkan parti dengan semua kriteria-kriteria ini, maka kita sedang merencana kepada satu lagi kegagalan besar dan mengaibkan dalam pilihan raya akan datang. Nauzubillahiminzalik.
 
40. Meskipun ada tangan-tangan yang cuba melumpuhkan demokrasi atas alasan kepentingan watan, tetapi kita jangan putus ikhtiar untuk berjuang.

Kita tidak punya banyak masa untuk mengeluh apatah lagi sekadar berpeluk tubuh. Kembalikan nilai-nilai demokrasi mengikut cara kita, mengikut cara UMNO yang sentiasa mendidik kita untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan.
 
41. Ambillah peluang daripada kecelaruan politik ini untuk membuktikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional layak dikembalikan sebagai teraju pemerintahan.

Bukan kita sombong dan riak seolah-olah hanya kita yang layak menjadi kerajaan, tetapi kita ada track record yang menjadi saksi kepada kemampuan kita mentadbir negara.

Kita ada report card yang menunjukkan kemampuan kita dalam memimpin kestabilan.
 
42. Kita perlu tunjukkan bahawa UMNO ada agenda besar untuk rakyat secara keseluruhan.

Bukan sekadar untuk menyuburkan perpaduan ummah, tetapi juga menyakinkan orang bukan Melayu bahawa UMNO sebagai terbesar orang Melayu punya agenda yang konkrit untuk Malaysia yang lebih baik. Untuk Malaysia yang stabil dan berjaya.

 43. Keutamaan kita pada masa ini ialah untuk menang dalam PRU-15. Berdasarkan ucapan-ucapan yang kita dengar dalam perhimpunan kali ini, maka bolehlah disimpulkan bahawa setiap daripada kita memahami bahawa PRU-15 pastinya menjadi pertarungan yang cukup getir untuk ditempuh.
 
44. Ambil peluang pada perhimpunan kali ini untuk memahami hala tuju parti. Jadikan perhimpunan ini untuk menggembleng buah fikiran untuk memperkukuhkan parti.

Lapangkan hati untuk ikhlas mengakui kelemahan dan mencari jalan untuk memperbaikinya.

Kumpulkan segala kekuatan dan tautkan semula hati-hati kita andai ada sengketa dan perseteruan.

Garaplah semua ini supaya apabila kita pulang ke kawasan nanti, kita bersedia untuk memberi pencerahan kepada perjuangan.
 
 45. Kepada Wanita, Pemuda dan Puteri, sentiasalah berada di pangkuan rakyat.

Dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih menghambat kehidupan rakyat, selalulah setia untuk menjadi tempat mereka mengadu nasib.

Jadilah pendamping kepada segolongan rakyat yang masih bergelut kerana hilang pekerjaan. Bimbinglah rakan-rakan peniaga kecil yang masih terkapai-kapai untuk membina semula perniagaan.
 
46. Jangan diabaikan rintihan anak-anak muda yang turut terkesan. Begitu jugalah dengan anak-anak yang lebih setahun hilang hari persekolahan.

Jelajahlah serata ceruk dan kampung untuk menawarkan khidmat. Tidak lupa rakan-rakan Orang Asli yang selama ini setia menyokong kita. Hulurkan bantuan sedaya yang mampu.
 
 47. Pendek kata, kumpul segala kekuatan untuk kita mencurahkan bakti. Lakukannya dengan niat yang ikhlas.

Semarakkan tradisi Barisan Nasional dan UMNO yang sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat.

Kerana tradisi itulah yang sebelum ini meletakkan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah selama lebih 60 tahun.
 
48. Akhir kata, saya sekali lagi mengajak seluruh ahli UMNO untuk mengembalikan citra parti. Insafilah bahawa jati diri kita semua menjadi taruhan kepada kelangsungan UMNO.

Kesetiaan kita semua adalah kunci kepada jatuh bangunnya UMNO. Ini bukan masanya memikirkan soal pemilihan jawatan dalam parti. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan soal imbuhan dan jawatan.

Pilihan raya nampaknya sudah tidak jauh. Kita sudah semakin menghampiri medan pertempuran.
 
49. Buktikan dahulu kesetiaan tidak berbelah bagi kepada parti semasa pertempuran di medan PRU-15 kelak.

Kesetiaan kita akan teruji sebelum pilihan raya, ketika pilihan raya dan selepas pilihan raya. Seperti saya sebutkan awal tadi, UMNO tidak mampu lagi berdepan dengan pengkhianatan.

Kita perlu cermat mengenali siapa kawan dan siapa lawan.
 
50. Jangan biarkan ada lagi watak yang kononnya mahu menjaga kehormatan parti, tetapi rupanya menjadi musang berbulu ayam.

Jangan biarkan ada lagi watak yang mendabik dada bercakap soal perjuangan, tetapi licik menjadi gunting dalam lipatan.

Jangan ada lagi watak yang berlagak santun mahu menegakkan maruah parti, tetapi dalam diam-diam, menjadi api dalam sekam.
 
51. Jangan kita biarkan parti keramat ini sekali lagi dinodai dengan khianat dan kepura-puraan.
 
Jalan megah pahlawan handalan,  
Adikara bangsa jadi sanjungan,
Usah bermadah soal perjuangan,
Andai khianat angkara habuan.
 
Semboyan perang sudah didendang,
Semangat membara sudah dipatri,
Biar seribu cabaran mendatang,
Setapak berundur tidak sekali.
HIDUP UMNO! HIDUP UMNO! HIDUP UMNO!

PAU 2020 – SUA UMNO Dedah Jumlah Ahli Parti

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button