ASHIRA TAMPIL BERHIJAB, MOHON DOA SUPAYA KEKAL
Penyanyi Ashira Aziz menerusi muat naik di laman Instagram telah berkongsi foto dirinya memakai hijab dengan kapsyen: "No matter what stage you are on,it all counts for Allah. At least you are trying. #covidsurvivor #thankful #greatful #blessed," tulisnya.
Isteri kepada penyanyi Bad Indigo ini ketika dihubungi berhubung perkongsian tersebut, berkata dia perasaan untuk berhijab dan menjadi lebih baik tiba-tiba muncul ketika dia menjalani rawatan dan kuarantin kendiri selepas dijangkiti Covid-19 sekitar penghujung Julai lalu.
"Saya masih belajar untuk ke arah itu (berhijab) dan tidak berani untuk berjanji 100 peratus mengatakan saya telah berhijab penuh. Apa-apa pun saya akan cuba yang terbaik.
"Masa saya sakit baru-baru ini (positif Covid-19), saya tertanya-tanya sama ada saya akan hidup lagi atau tidak pada keesokan hari. Saya sempat bertaubat atau tidak? Biasalah kita manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
"Tiap-tiap malam saya terfikir tentang perkara itu (kematian). Lebih-lebih lagi apabila saya susah hendak bernafas sehingga saya menjadi takut," jelas Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz.
Klik untuk gambar besar
Kata pelantun lagu ‘Di Ombak Resah’ itu lagi, suatu hari ketika bersendirian di dalam bilik, dia membelek-belek aplikasi jualan secara dalam talian dan tertarik dengan beberapa helai tudung yang dijual pada harga murah.
"Mungkin Allah SWT nak gerakkan hati saya ketika itu. Saya rasa cantik sangat tudung tersebut dan harganya juga murah iaitu serendah RM5 sehelai. Jadi saya beli beberapa helai. Ketika memotong gelang selepas disahkan bebas daripada Covid-19 baru-baru ini, saya telah mula berhijab, tetapi tidaklah sempurna lagi," katanya.
Ujar penyanyi berusia 36 tahun itu lagi, beberapa kejadian yang berlaku disekelilingnya termasuk kematian ibu tirinya, Norma Ariffin dan pemergian rakan artis iaitu penyanyi Siti Sarah Raissuddin akibat Covid-19.
Mengakui berasa agak ‘malu’ untuk mendedahkan imej terbaharunya itu, Ashira berharap selepas ini jika hendak keluar rumah, dia akan tetap mengenakan hijab di kepalanya dan memohon doa daripada peminat untuk membulatkan hati menutup aurat.
"Selain terkesan akibat diri sendiri dijangkiti Covid-19, pemergiaan beberapa insan yang saya kenali seperti Mak Norma (ibu tiri) dan Siti Sarah turut meninggalkan keinsafan dalam diri. Kalau Allah SWT restui saya, benda itu (menutup aurat) akan berlaku juga. Insha-Allah," tuturnya.