Pahang Tidak Menyahwarta Hutan Simpan Hulu Jelai

Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail
Gambar Fail

Kerajaan Pahang tidak pernah menyahwarta tanah seluas 660 hektar di kawasan Hutan simpan Hulu Jelai, Lipis bagi aktiviti perlombongan nadir bumi Lanthanide di kawasan terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu dakwaan dan isu dibangkitkan pemimpin pembangkang adalah tidak benar.

“Sepertimana saya sebut, permohonan untuk melombong di kawasan itu belum didaftarkan sebagai Pajakan Melombong (ML).

“Oleh itu, soal penyahwartaan tidak perlu ditimbulkan, ” katanya ketika berucap ketika sesi penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, selain ML, pihak terlibat mestilah memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (E.I.A) daripada Jabatan Alam Sekitar serta sijil Skim Pengendalian Melombong (O.M.S) yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains.

Katanya, sehingga kini, belum ada lagi prosedur operasi standard (S.O.P) bagi kerja-kerja perlombongan nadir bumi Lanthanide.

“Ia masih peringkat cadangan penggubalan sepertimana dimaklumkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) kepada Majlis Mineral Negara 16 Februari lalu,” katanya.

Dalam persidangan itu, Wan Rosdy memaklumkan pihak berkuasa tempatan memberi diskaun 50 peratus ke atas premis-premis miliknya. -sinar-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button