Duda Ditangkap Khalwat Dengan Janda Anak Tiga
Alasan seorang lelaki untuk menumpang sementara di sebuah rumah kedai milik seorang janda sementara menunggu proses pernikahan tidak menjadi apabila mereka dicekup berkhalwat semalam.
Lelaki berusia 46 tahun yang berstatus duda itu dicekup dengan pasangannya yang berstatus janda anak tiga berusia 38 tahun itu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada sekitar jam 12.45 tengah malam.
Wanita itu dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai berkenaan manakala lelaki itu bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, mereka dicekup di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, di sini selepas pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di situ.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.
Katanya, pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.
“Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
metro