Pesakit SLE Perlu Dapatkan Vaksin Covid

 

Sejak kebelakangan ini, ramai bimbang pertahanan tubuh ‘dibolosi’ virus apatah lagi jika mereka menghidap penyakit kronik sekali gus lebih berisiko tinggi berbanding yang tiada penyakit.

Sistemik lupus eritematosus (SLE), misalnya adalah antara penyakit yang cukup menggerunkan terutama wanita kerana golongan itu lebih berisiko 10 kali ganda menderita kerananya termasuk dalam kalangan individu yang masih muda.

Berdasarkan sejarah perubatan, SLE lebih ramai menyerang golongan hawa terutama dalam kalangan wanita hamil dan lebih berisiko keguguran.

Justeru, SLE suatu penyakit autoimun di mana badan menghasilkan antibodi yang menyerang tisu badan, menyebabkan radang atau inflamasi di banyak bahagian badan seperti kulit, sendi dan organ dalaman termasuk otak, paru-paru, jantung dan buah pinggang.

Pakar Perunding Nefrologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor, berkata ramai pesakit SLE adalah mereka yang masih produktif atau aktif membabitkan wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Ketika penyakit COVID-19 masih berleluasa, pesakit SLE tidak terkecuali mempunyai risiko mengalami kesan serius yang boleh mengakibatkan kegagalan organ apabila ia mencapai tahap teruk.

“Biarpun ia tidak mempunyai kaitan secara langsung, COVID-19 boleh mengakibatkan kegagalan organ seperti ginjal (terutama pesakit tahap 4 dan 5) dan menyebabkan radang ginjal ,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ujian biopsi perlu dilakukan bagi mendapat kepastian COVID-19 yang mengakibatkan radang ginjal.

Risko Covid


“Begitu juga COVID-19, apa juga varian memberi risiko yang tinggi kepada penghidap SLE untuk mengalami kesan lebih teruk sekiranya dijangkiti.

“Justeru pesakit disyorkan segera mendapatkan vaksin COVID-19 untuk mengelakkan tahap lebih teruk, berikutan mereka lemah antibodi melawan penyakit,” katanya.

Kerosakan tisu ginjal

Dr Abdul Halim berkata, SLE berlaku apabila sistem kekebalan tubuh menyerang sel badan lalu menyebabkan kerosakan dan keradangan pelbagai organ tubuh.

“Penyakit ini dicirikan dengan serangan antibodi secara semula jadi dan pembentukan kompleks imun yang akan terkumpul dalam organ pesakit itu. Antara organ terbabit termasuk kulit, mata, paru-paru dan ginjal,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, jika berlaku pada ginjal, ia akan menyebabkan kerosakan tisu ginjal disebabkan oleh keradangan yang berpunca daripada kompleks imun itu.

“Bahagian yang sering terjejas oleh radang ini adalah sistem penurasan ginjal (glomerulus). Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan pembentukan parut pada tisu ginjal dan menjejaskan fungsi ginjal secara keseluruhan,” katanya.





Fungsi ginjal terjejas teruk

Beliau berkata, seterusnya penyakit SLE yang menyerang ginjal dipanggil nefritis lupus (NL)

Justeru, Nefritis Lupus ini amat penting dalam perspektif keilmuan disiplin nefrologi kerana kerosakan berlaku pada ginjal adalah meluas dan amat lazim bagi pesakit SLE.

“Sekiranya Nefritis Lupus tidak dirawat dengan baik akan menyebabkan fungsi ginjal terjejas teruk. Ini menyebabkan bahan kumuh tubuh dan air yang berlebihan tidak dapat disingkirkan daripada badan.

Keadaan itu boleh menyebabkan kesan secara bertimbal balas dan bahan kumuh yang dipanggil sebagai urea dan kreatinin akan berkumpul dalam darah.

“Ini akan menyebabkan gangguan fungsi organ seperti otak, darah, kulit, jantung dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, sehingga pada satu peringkat, bahan kumuh dan air yang berlebihan ini mesti disingkirkan secara paksa melalui dialisis.

Tingkatkan kualiti hidup

Justeru, penilaian dan rawatan daripada doktor pakar terhadap fungsi ginjal amat penting untuk membantu pesakit meningkatkan kualiti hidup mereka.

Katanya, setiap pesakit mempunyai gejala berbeza dan lazimnya mengalami sendi bengkak dan sakit (arthritis), demam tanpa diketahui puncanya dan tersangat letih.

“Selain itu, terdapat juga tompok-tompok merah (malar rash) di pipi dan hidung seperti bentuk ‘kupu-kupu’. Ruam juga boleh timbul di muka dan telinga, di bahagian atas kedua lengan dan tangan, bahu dan dada.

“Berikutan penghidap SLE sensitif kepada cahaya matahari (fotosensitif), tompok merah ini akan menjadi lebih teruk selepas terdedah kepada matahari,” katanya.

Setakat ini, tiada ubat, namun yang ada ubat untuk mengawal simptom misalnya krim untuk ruam, ubat demam untuk antiradang dan sakit otot.

Ditanya mengapa SLE lebih mudah menyerang wanita, Dr Halim berkata, hormon oestrogen wanita memainkan peranan dalam memudahkan untuk seseorang mendapat SLE.

“Oleh itu, ia biasa dihidapi wanita terutama yang berusia 20 hingga 40 tahun kerana dalam lingkungan usia itu, wanita akan aktif mengeluarkan hormon berkenaan,” katanya.

Bagi kehamilan dalam kalangan wanita yang menghidap SLE masih dikaitkan dengan kadar morbiditi dan kematian ibu dan janin yang lebih tinggi.

Bagi memastikan kehamilan berjalan lancar, mereka perlu mendapat pengawasan rapi oleh pakar dari pelbagai disiplin, termasuk pakar rheumatologi dan pakar obstetrik.

Info

Ciri-ciri penyakit SLE

* Demam, keletihan, dan penurunan berat badan

* Sakit dan bengkak sendi selama beberapa minggu

* Tompok merah menyerupai kupu-kupu di pipi dan hidung

* Tompok merah di kawasan kulit yang terdedah kepada matahari

* Ulser di mulut dan hidung berlarutan lebih sebulan

* Rambut gugur secara bertompok atau di sekeliling (hair line)

* Sawan, strok dan gangguan mental

* Risiko mendapat darah beku

* Kerap keguguran bayi

* Darah atau protein dalam air kencing menunjukkan gangguan sistem buah pinggang

* Bilangan sel darah putih atau merah rendah.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button