Padah Menyamar Dan Menyamun, 2 Lelaki Dicekup Polis

 

Polis menahan dua lelaki selepas disyaki menyamar sebagai polis dan menyamun seorang remaja lelaki, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), menghala ke Taman Melawati, pada 16 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata kedua-dua suspek berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan di Kampung Klang Gate Baharu, kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

Mohamad Farouk, berkata hasil serbuan pihaknya turut merampas beberapa telefon bimbit, topi keledar, barangan dan pakaian berlogo polis, dua motosikal Yamaha dan kereta Proton Perdana.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai juruwang menunggang motosikal di lebuh raya itu, sebelum motosikalnya ditahan suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Suspek kemudian membuat pemeriksaan di badan dan beg silang mangsa. Suspek mengambil beg silang dan kunci motosikal mangsa yang turut diugut akan dicederakan jika barangannya tidak diserahkan kepada suspek.

“Dalam kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun kerugian wang tunai RM700, telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kedua-dua suspek penganggur, selain mempunyai 30 rekod jenayah membabitkan perbuatan khianat, rusuh, curi kenderaan serta menyamar sebagai polis.

Farouk berkata, modus operandi suspek dengan menyamar sebagai polis dan mensasarkan remaja bersendirian di kawasan sunyi.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

“Dengan penahanan dua suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun di Ampang dan empat lagi kes di Gombak serta Setapak.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan suspek lain yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu,” katanya.

Katanya, dua suspek itu direman tujuh hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohamad Farouk mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan kepada mereka yang pernah menjadi mangsa diminta membantu siasatan.

fmt



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button