Kabinet Malaysia Angkat Sumpah Hari Ini

 

Majlis mengangkat sumpah jawatan membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang.

 





Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka turut berangkat ke istiadat tersebut.

Selain itu, ia akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri mengumumkan senarai anggota kabinet baharu pentadbirannya pada Jumaat lalu dan menyifatkan barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ itu adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Antara muka baharu terpilih ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Selain itu, anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman iaitu Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan; Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Ismail Sabri sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 20 Ogos lalu.

sinar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button