Heung-min buktikan bangku simpanan bukan tempatnya

LONDON: Son Heung-min mempamerkan persembahan cemerlang selepas digugurkan daripada kesebelasan utama, dengan penyerang Korea Selatan itu memastikan kemenangan 2-0 Tottenham Hotspur ke atas West Ham sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian.

Heung-min bergelut mencapai prestasi sebenarnya musim ini sehingga memaksa pengendali Spurs, Antonio Conte memulakannya di bangku simpanan untuk aksi Liga Perdana Inggeris itu.

Sebelum perlawanan hujung minggu ini, pemain 30 tahun itu hanya meledak gol dalam empat perlawanan musim ini.



Namun Heung-min membuktikan kemampuan sebenarnya apabila meledak gol kedua Tottenham sebaik dimasukkan, selepas Emerson Royal membuka jaringan di babak kedua.

Gol kesembilan Heung-min dalam semua pertandingan musim ini menyamai hatriknya ketika menentang Leicester pada September, di mana dia turut digugurkan daripada kesebelasan utama dan masuk sebagai pemain gantian.

“Tidak ada pemain mahu duduk di bangku simpanan tetapi ia adalah keputusan yang perlu diterima. Ia ditentukan oleh pengendali dan saya perlu menerimanya.



“Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan. Saya mendapat peluang dan saya gembira dapat menjaringkan gol. Hantaran sangat baik dan sentuhan pertama saya menjelmakan gol,” kata Heung-min.

Kemenangan itu melonjak Tottenham ke tangga keempat, satu mata mengatasi Newcastle yang bermain kurang satu perlawanan.

Conte masih belum kembali bersama pasukan susulan pembedahan pundi hempedunya, dengan penolong jurulatih, Cristian Stellini mencorak permainan mengikut arahan pengendali itu yang masih berada di Itali.

Ia adalah kemenangan penting buat Spurs, yang dibelasah Leicester pada hujung minggu lalu sebelum tewas 1-0 di tangan AC Milan dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button