Ronaldo Gagal Sempurnakan Penalti Lepas Tampar Dara
Cristiano Ronaldo menampar pemain Ireland, Dara O’Shea sebelum dia gagal menjaringkan penalti buat Portugal dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.
Tindakan bintang Manchester United itu menimbulkan kemarahan penyokong Ireland yang mempersoalkan kewajarannya dia terus kekal di atas padang.
Kesilapan Jeff Hendrick pada awal babak pertama membolehkan tuan rumah mendapat penalti dan Ronaldo menunggu pengesahan VAR sebelum melakukan sepakan di Estadio Algarve.
Tetapi pertahanan Republik Ireland, O’Shea bermain psikologi apabila menguis bola yang mengundang kemarahan Ronaldo.
Bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu kemudiannya menampar O’Shea menyebabkan pemain West Brom kesakitan.
Tetapi Ronaldo yang tidak dikenakan tindakan oleh pengadil menyaksikan penaltinya diselamatkan penjaga gol muda Manchester City, Gavin Bazunu yang hanya tampil kali kelima bersama Ireland.
Bagaimanapun, penyokong Ireland mempersoalkan sama Ronaldo wajar terus berada di atas padang selepas memukul O’Shea.
Seorang berkata: “Di Liga Perdana, dia pasti kena kad merah.”
“Merah sepanjang hari lmao,” kata seorang lagi Twitter.
Manakala yang lain berkata: “Bagaimana dia tak boleh dapat kad merah?”
Seorang lagi menambah: “Jika pemain lain tentu dah keluar.”
Penyokong Ireland lain berkata: “Bagi pemain yang hebat seperti dia, tindakan itu memalukan.”
Namun Ronaldo menebus kesilapannya dengan meledak dua gol lewat untuk menewaskan Ireland 2-1 sekali gus muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 111 gol.
metro