Haramkan Program Realiti Pencarian Bakat
China melarang penyiaran program realiti pencarian bakat yang disifatkan membawa pengaruh buruk kepada anak muda di negara itu.
Kerajaan mengarahkan stesen televisyen berkenaan mempromosikan peserta lelaki dengan penampilan lebih maskulin dan berperwatakan sopan.
Tindakan keras itu bagi mengekang ‘budaya tidak bermoral’ yang boleh menyesatkan golongan muda.
Program bakat menerusi perkhemahan itu mempertaruhkan ratusan peserta muda yang bercita-cita tinggi merebut undian orang ramai.
Program yang semakin popular di China itu mendapat kritikan kerana menonjolkan idola yang kurang sesuai dengan budaya tempatan.
“Institusi penyiaran dan televisyen tidak boleh menyiarkan idola atau pelbagai pertunjukan dan program realiti,” kata Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional dengan merujuk kepada peraturan baharu negara itu.
Stesen penyiaran juga diarahkan menolak penyiaran estetika tidak normal seperti lelaki ‘lembut’, ‘pengaruh kurang sopan’ serta bintang yang ‘moralnya rendah’.
Pihak berkuasa China berusaha menerapkan nilai tradisional terhadap golongan lelaki di negara itu dengan meningkatkan penyediaan kelas gimnasium.
Mereka mengkritik penghibur lelaki yang mempamerkan penampilan K-Pop.
Sebaliknya, stesen penyiaran disaran ‘mempromosikan budaya tradisional Cina dan sosialis yang maju’.
Stesen penyiaran TV Beijing menayangkan rancangan bakat idola ‘Youth With You 3’ yang disiarkan Mei lalu selepas peminat membeli dan membuang sejumlah besar yogurt untuk memilih peserta pilihan mereka.
Program seumpama itu mempengaruhi peminat membeli produk ditaja untuk memilih idola mereka, namun peraturan baharu ini melarang amalan itu. – AFP