AWAN Saran Kelantan Kaji Program Pendidikan, Pembangunan
Kerajaan Kelantan perlu mengkaji kembali program pendidikan dan pembangunan dalam negeri sama ada ia berjaya mencapai sasaran ditetapkan atau sebaliknya, kata Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim.
Menurutnya, petunjuk prestasi utama (KPI) program pembangunan negeri adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat, namun kini ia telah dinodai dengan peningkatan jenayah rogol yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Selaku ibu dan aktivis masyarakat, peningkatan jenayah rogol walaupun enam peratus sahaja, namun ia merupakan sesuatu yang cukup membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Peningkatan ketara kes-kes rogol bawah umur membuka mata kita tentang keruntuhan moral dan penghayatan agama dalam kalangan anak remaja dan masyarakat kita dalam masa pandemik.
“Walaupun ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata pergaulan bebas yang berakhir dengan seks bebas tetap berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, jenayah rogol di Kelantan terutama membabitkan mangsa di bawah umur meningkat secara keseluruhan kepada 65 kes tahun ini khususnya semasa pelaksanaan PKP.
Jumlah itu direkodkan bermula Januari hingga Julai dengan peningkatan sebanyak 11 kes berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hafidzah berkata, jika sebelum pandemik, program jati diri dan kempen kesedaran kesihatan seksual dan reproduksi remaja dapat dijalankan di sekolah namun dengan pandemik yang melanda kini, peningkatan penggunaan gajet dan media sosial juga dilihat antara yang turut menyumbang kepada meningkatnya jenayah ini.
Beliau turut mmenjelaskan bahawa kes rogol bawah umur yang boleh berlaku dalam kediaman keluarga sendiri adalah satu isu yang serius dan menegaskan ia berkaitan dengan keprihatinan ibu bapa dan penjaga tentang keselamatan serta kesihatan seksual anak-anak di rumah sendiri.
“Nampaknya institusi keluarga asas kepada masyarakat yang kuat sudah tidak dapat melindungi anggotanya. Rogol adalah suatu jenayah yang memberi kesan negatif yang mendalam kepada mangsa terdiri daripada wanita dan anak perempuan kita yang masih muda di bawah umur.
“Kesan fizikal dan mental terhadap mangsa bersifat jangka pendek dan trauma jangka panjang boleh menghantui mangsa bertahun-tahun selepasnya. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha membendung jenayah rogol daripada terus meningkat dan melakukan keganasan terhadap wanita serta merosakkan anak remaja kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan lelaki perlu bertanggungjawab memastikan hubungan seksual berlaku dalam hubungan yang sah agar tiada seorang wanita pun teraniaya selain ibu bapa dan ahli keluarga perlu meningkatkan kesedaran dan keprihatinan dalam mendidik anak-anak secara holistik termasuk dalam soal-soal kesihatan seksual dan reproduksi.
“Selain itu, penggubalan akta gangguan seksual perlu dipercepatkan, selain usaha pencegahan, perawatan dan pemulihan juga mesti digiatkan bagi mengubati dan memastikan pesalah tidak mengulangi jenayah mereka,” katanya.