Tumpu Vaksin Pelajar Kelas Peperiksaan – PIBGN
Murid dan pelajar bukan kelas peperiksaan perlu dibenarkan terus menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga tamat takwim sekolah 2021, kata persatuan ibu bapa dan guru.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya memberi tumpuan kepada usaha vaksinasi semua tenaga pengajar dan kakitangan sekolah, berbanding terlalu tertumpu kepada perihal pembukaan sekolah.
“Memandangkan Oktober hanya berbaki beberapa hari saja lagi, dan kes juga masih tinggi, bawa saja sesi pembelajaran secara bersemuka pada tahun depan.
“Sekarang tumpu dahulu vaksinasi untuk komuniti sekolah iaitu guru dan pelajar peperiksaan,” katanya yang mendesak KPM bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi vaksin kepada pelajar di sekolah dengan segera.
Datang ke setiap sekolah, beri mereka vaksin secepat mungkin untuk jadikan sekolah lebih selamat. KPM boleh guna van atau trak untuk kerjasama dengan KKM suntik semua pelajar,” katanya
Tambahnya, pembukaan sekolah secara berfasa bermula 3 Okt ini juga masih samar dan pihak sekolah serta ibu bapa masih tidak mendapat sebarang maklumat lanjut mengenainya.
“Belum dapat maklumat sepenuhnya mengenai pembukaan berfasa yang diumumkan menteri (Radzi Jidin). Bila Tingkatan 1,2,3,4 yang tidak ambil peperiksaan akan masuk sekolah? Tidak ada tarikh ditentukan lagi setakat ini,” katanya.
Turut menjadi persoalan dalam kalangan komuniti sekolah, katanya, status pelajar yang tinggal di negeri Fasa 1 dan bersekolah di negeri berstatus Fasa 2 dan berikutnya.
“Bagaimana mereka nak hantar anak mereka? Apakah garis panduan yang perlu dirujuk? Sama ada benarkan atau tidak?” soalnya.
Justeru, beliau mendesak agar KPM membentangkan pelan SOP pembukaan sekolah lebih komprehensif selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.
“Ini bagi membolehkan ibu bapa dan guru bersedia mengenai sebarang tindakan atau perubahan yang perlu diambil,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin menegaskan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Okt ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Untuk rekod, negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut senada dengan PIBGN adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad yang menegaskan sekolah di negeri berlainan fasa tidak memberi sebarang perbezaan jika komuniti itu sendiri tidak lengkap divaksin.
“Tak kiralah sekolah di negeri fasa satu, dua, tiga atau empat. Tak ada beza besar pun antara fasa-fasa ini sekarang. Mereka (pelajar tahun peperiksaan SPM, STPM dan STAM) yang perlu kembali ke sekolah perlu melengkapkan dua dos vaksin.
“Semua rantaian yang berkaitan dengan pembukaan sekolah iaitu guru, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas juga perlu lengkap dua dos sebelum dibenarkan bertugas,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata murid dan pelajar bukan peperiksaan dicadangkan terus menjalani PdPR sehingga akhir tahun atau sehingga keadaan benar-benar terkawal.
“Murid lain (bukan tahun peperiksaan) boleh teruskan dengan PdPR sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baru Covid turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh KKM di negeri berkaitan.
“Bagi guru yang berkeras tidak mahu divaksin, mereka boleh diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, Radzi mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya dibuka pada 1 Sept lalu, ditangguhkan ke 3 Okt ini.
fmt