NGO Desak Siasatan Dakwaan Kontrak Muhyiddin & YTL

 

Sebuah pertubuhan antirasuah menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan bahawa isu kontrak membabitkan YTL Communications menjadi punca mengapa Muhyiddin Yassin, yang menjadi menteri dalam negeri ketika itu, mendesak peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, ini kerana ahli politik tidak harus melobi ahli perniagaan.

Bercakap kepada FMT, Presiden TI-M Muhammad Mohan menggesa supaya Maszlee membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Maszlee membuat dakwaan itu dalam bukunya bertajuk “Memori Bukan Memoir”.

Mohan berkata, ahli politik sepatutnya melindungi kepentingan orang awam dan tidak harus melayan ahli perniagaan yang ingin mendapatkan kontrak kerajaan kerana ia akan mendorong berlakunya sogokan dan pelbagai rasuah lain.

 





Katanya, mereka yang mempunyai maklumat dan bukti berhubung dakwaan itu juga perlu membuat laporan kepada SPRM.

Dia berkata SPRM boleh mengakses audit yang dilakukan oleh pejabat ketua audit negara mengenai projek 1BestariNet oleh YTL.

“Khabar angin mengenai isu 1BestariNet ini telah lama timbul dan akan terus menjadi khabar angin sekiranya orang awam, pegawai Kementerian Pendidikan atau bekas menteri tidak membantu SPRM melakukan siasatan,” katanya.

Mohan berkata, mereka yang memberi maklumat kepada SPRM boleh mendapatkan perlindungan sebagai saksi atau pemberi maklumat.

Katanya, SPRM harus memastikan sama ada YTL menang bidaan projek terbabit mengikut saluran sepatutnya, menjalankan tanggungjawabnya dalam kontrak dan jika terdapat sebarang tekanan politik terhadap Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan kontrak mereka.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, Muhyiddin perlu menjelaskan tuduhan itu segera dan bersikap telus mengenai peranannya dalam kontrak dan hubungan dengan YTL.

“Kami meminta kerajaan baharu yang sering bercakap mengenai pembaharuan ini menyiasat perkara itu, membentuk jawatankuasa bebas disertai individu yang boleh dipercayai serta membuat laporan kepada SPRM jika wujud niat untuk melakukan rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.

“Ini adalah masa untuk kita mengambil tindakan dan menggesa Maszlee melaporkan kepada SPRM dan membangkitkan isu ini kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.”

1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Muhyiddin menjadi menteri pendidikan dan ia menelan belanja kerajaan kira-kira RM3 bilion menerusi beberapa fasa kontrak dengan YTL.

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button