Chelsea enggan terjerat perang psikologi

Oleh – Syeikh Baran


Chelsea enggan terjerat perang psikologi
CHELSEA mengharapkan kemenangan pada aksi final EFL bagi membawa pulang kejuaraan untuk menyelamatkan musim mereka yang agak hambar. – FB CHELSEA

Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino enggan terjebak dengan perang psikologi yang dilancarkan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menjelang aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) di Wembley malam ini.

Terdahulu, Klopp menganggap Chelsea sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi tersebut berdasarkan masalah kecederaan pemain utama yang sedang dihadapi Liverpool pada ketika ini.



Bagaimanapun, Pochettino menganggap Klopp cuba mengalihkan tekanan kepada The Blues dalam usaha mengganggu fokus pemain-pemainnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan semula rentak kemenangan.

“Beliau merupakan salah seorang jurulatih terbaik di dunia, sebaris dengan Pep (Guardiola). Klopp memang sangat bijak dengan situasi seperti ini dan mampu mengalihkan tekanan terhadap pasukan lawan.

“Semua orang tahu bahawa apa sahaja boleh berlaku di perlawanan akhir. Jika Klopp mendakwa mereka bukan pasukan pilihan, saya juga mahu mengatakan bahawa Chelesa adalah underdogs,” katanya.

Secara realistik, Liverpool boleh dianggap sebagai pasukan lebih baik ketika ini memandangkan mereka memiliki kelebihan 25 mata ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).



Sementara itu, Pochettino menganggap kekalahan kepada Liverpool bulan lalu membuatkan pasukannya menjadi lebih matang memandangkan mereka berdepan keputusan-keputusan yang boleh dianggap berat sebelah pada perlawanan tersebut.

“Saya boleh katakan kekalahan kepada Liverpool sebelum ini tidak adil kerana kami sepatutnya diberikan sepakan penalti. Bagaimanapun, saya anggap keputusan itu sebagai satu perkara yang positif.

“Selepas perlawanan itu, pemain-pemain mula memiliki mental lebih kuat. Sekarang kami sentiasa mencari jalan untuk memberikan saingan dalam setiap perlawanan dan keluar dari zon selesa,” ujar pengendali dari Argentina itu. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button