Abdul Hadi digesa mohon maaf dengan segera

JOHOR BAHRU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaan bahawa Melayu Johor kurang memahami politik Islam.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Jais berkata, mempertahankan maruah Islam sebagai agama rasmi negeri ini adalah menjadi agenda utama pentadbiran politik Johor dengan kaedah yang seiring dengan Al-Quran dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, pendidikan Islam kepada seluruh bangsa Johor dimulakan sejak kanak-kanak dan memupuk ajaran Islam yang sempurna merangkumi mekanisme politik UMNO Johor yang sentiasa meletakkan Islam di atas.



“Politik UMNO Johor sentiasa menghubungkan masyarakat dengan pembudayaan Islam yang jelas dan penuh hikmah sejak ditubuhkan pada tahun 1946 selain UMNO Johor sentiasa berusaha merapatkan jurang pemisah atau ideologi yang bersifat radikal dan sombong.

“UMNO melenyapkan dan menghapus musuh Islam dan Melayu iaitu Malayan Union dan perjuangan ini menyelamatkan keseluruhan umat Melayu yang kini tidak lagi sehaluan dengan UMNO namun UMNO tetap optimis parti ini kekal relevan mendepani masa lampaunya dan masa depannya,” katanya.

Othman berkata, sepatutnya Abdul Hadi bertanyakan dahulu dengan rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama dua penggal.



“Soalan itu boleh juga ditanyakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi (calon Bukit Permai),” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Perkasa Negeri Johor, Azali Ahmad berkata, pandangan Abdul Hadi adalah menyimpang daripada fakta sebenar.

“Sebelum ini beliau juga memberi pendapat yang tidak relevan berkaitan ahli Umno tanpa menyedari nilai Islam.



“Saya berharap beliau menghentikan sikap sedemikian dan memohon maaf,” katanya.

Sementara itu, Timbalan di Pertua Majlis Ayahanda Johor, M Fairuz Iskandar Abd Aziz berkata, pihaknya berharap Abdul Hadi mengamalkan gaya politik sihat.

Isnin lalu, Abdul Hadi mendakwa cetek kesedaran politik Islam di Johor sebagai punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri ini walaupun menjadi antara negeri terawal ditubuhkan cawangan parti berkenaan.

Terdahulu Abdul Hadi juga mengajak pengundi untuk hukum BN agar ia dapat dijadikan pengajaran kepada parti berkenaan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button