Santos kurang gembira dengan reaksi Ronaldo

Doha: Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata, dia tidak terkesan dengan tindakan Cristiano Ronaldo selepas penyerang itu naik angin apabila digantikan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Piala Dunia Qatar.

Santos yang menyifatkan kes mengenai kejadian itu sudah ditutup, kini menyiapkan pasukannya untuk menentang Switzerland pada aksi 16 terakhir, awal pagi esok.

Ronaldo mendakwa dia dihina pemain Korea Selatan selepas digantikan pada babak kedua ketika pasukannya tewas 1-2 kepada skuad Asia itu, Jumaat lalu.



Tetapi, media Portugal menunjukkan gambar dia menggunakan kata-kata tidak sepatutnya sebagai tindak balas terhadap keputusan Santos mengeluarkannya.

Ditanya mengenainya reaksinya terhadap gambar itu, Santos berkata: “Saya langsung tidak sukakannya. Saya memang tidak sukakannya.”

Tetapi, dia menyatakan isu itu sudah selesai.

“Insiden berkenaan sudah diselesaikan secara dalaman,” katanya.



“Ia sudah berakhir, ia penamat kepada isu itu dan kini kami berfikir mengenai perlawanan esok dan semua orang fokus kepada persiapan pasukan.”

Isu sama ada Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama masih menjadi topik hangat dalam kalangan peminat Portugal, tetapi Santos berkata, dia tidak mengambil perhatian mengenai perdebatan atau undian atas talian mengenai isu itu.

“Saya tidak baca bahan seperti itu,” katanya.

“Bukan kerana kurang rasa hormat, tetapi kami ada tiga hari untuk berlatih bagi satu perlawanan dan saya tidak melihat kepada berita seperti itu. Kami fokus kepada perlawanan akan datang.”



Santos menjangkakan persaingan hebat daripada Switzerland selepas Portugal menewaskan mereka 4-0 pada aksi Liga Negara-Negara pada Jun lalu, sebelum anak buahnya tewas 0-1 pada aksi timbal balik.

“Ini bukan kali pertama menentang Switzerland dan kami tahu ia perlawanan yang sukar,” katanya.

“Mereka adalah pasukan yang tersusun dengan ramai pemain berkualiti tinggi dan tahu untuk bermain bola sepak dengan baik.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button