Inflasi di peringkat pengeluar terus melonjak

PUTRAJAYA: Harga komoditi yang lebih tinggi mendorong Indeks Harga Pengeluar Malaysia, yang mengukur harga barangan di pintu kilang untuk meningkat 11.2 peratus bulan lalu, berbanding 11 peratus direkodkan pada April 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 20.6 peratus berbanding 18.4 peratus direkodkan pada April 2022.

Beliau berkata, indeks pertanian, perhutanan & perikanan pula mencatatkan peningkatan 16.7 peratus disumbangkan terutama oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2 peratus), perikanan (11.3 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8 peratus).



“Pada Mei 2022, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 10.1 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2011, dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (24.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus).

“Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2 peratus, manakala indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan laporan bulanan terbaharu IHPR pengeluaran tempatan Mei 2022 yang diterbitkan hari ini.

Mohd Uzir menambah, peningkatan dua angka dalam IHPR di Malaysia adalah selari dengan kenaikan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan terutama bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dan Ukraine.

Beliau berkata, inflasi di peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat 15.7 peratus pada Mei 2022, naik daripada 14.7 peratus dicatatkan pada April 2022.



Katanya, kenaikan didorong oleh harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22 peratus tahun ke tahun.

“Pada masa yang sama, peningkatan harga gasoline dan produk-produk

tenaga menyumbang kepada kenaikan 10.8 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar di Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2022.

“Situasi yang sama berlaku kepada negara Asia Selatan seperti Thailand, di mana inflasi di peringkat pengeluar mencatatkan kenaikan 13.3 peratus



pada Mei 2022.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor pembuatan dan perlombongan,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading