Pengeluar racun rumpai disaman wanita
Seorang wanita memfailkan saman terhadap syarikat pengeluar racun rumpai jenama Roundup kerana mendakwa anaknya menghidap kanser selepas terdedah kepada racun rumpai berkenaan.
Ezra Clark baru berusia empat tahun ketika dia didiagnosis pada Februari 2016 dengan limfoma Burkitt, iaitu sejenis kanser sangat agresif yang mempengaruhi kelenjar limfa.
Menurut saman difailkan di mahkamah Los Angeles oleh Destiny Clark, anaknya secara langsung terdedah ketika dia menyembur kawasan rumah dengan racun keluaran syarikat Monsanto.
Dokumen yang dilihat oleh AFP, menyatakan bahawa pakar merumuskan dengan tahap kepastian perubatan yang wajar, bahawa pendedahan Ezra terhadap Roundup adalah faktor penting yang menyebabkan penyakitnya.
Peguam Clark berkata Monsanto mengetahui hubungan antara racun rumpai berasaskan glyphosate dan kanser selama beberapa dekad.
Mereka berkata, syarikat agrokimia Amerika Syarikat (AS) itu yang kini adalah anak syarikat Bayer dari Jerman, melakukan kajian yang tidak mencukupi mengenai kesan karsinogenik glifosat dan bahan lain yang membentuk produk akhir.
“Sekiranya plaintif mengetahui risiko (penyakit) yang berkaitan dengan penggunaan Roundup pada waktu itu … dia tidak akan menggunakannya,” kata peguam melalui saman yang tidak menyatakan jumlah tuntutan ganti rugi secara khusus.
Bayer dilanda masalah sejak membeli Monsanto, yang memiliki Roundup pada 2018 bernilai AS$63 bilion (RM261 bilion) dengan masalah tuntutan saman.
Firma Jerman itu mengasingkan lebih AS$15 bilion (RM62 bilion) untuk menangani gelombang tuntutan saman yang berkaitan dengan racun rumpai.
Bayer berpendapat bahawa kajian saintifik dan kelulusan peraturan menunjukkan bahan utama Roundup iaitu glyphosate adalah selamat.
Walau bagaimanapun, glyphosate diklasifikasikan sebagai ‘kemungkinan karsinogen’ (kesan yang menyebabkan kanser) oleh Agensi Penyelidikan Antarabangsa Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP