Sultan Nazrin sampaikan hadiah Tilawah, Hafazan al-Quran peringkat Perak

Oleh – Syeikh Baran


Sultan Nazrin sampaikan hadiah Tilawah, Hafazan al-Quran peringkat Perak
Sultan Nazrin (kanan) berkenan menyampaikan hadiah Qariah terbaik kepada Puteri Kalimatul Azzua (dua dari kiri) pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1445H/2024M di Pusat Konvensyen Casuarina malam ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup serta penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina di sini malam ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.



Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan dan pentadbiran negeri.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perak 1445H/2024M itu telah diadakan semalam.

Pada majlis itu, Anuar Hasin diumumkan sebagai johan qari manakala Puteri Kalimatul Azzua Hamid sebagai johan qariah dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000, sijil serta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000.

Dalam kategori sama, naib johan qari dimenangi Mohd. Kamaruzaman Daud dan Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Norhazira Nabila Mohamad Kamel dan di tempat ketiga, Munirah Razali.



Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta sijil.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, bermula daripada peringkat saringan seramai 18 penyertaan Tilawah manakala 68 penyertaan Hafazan bagi tiga kategori iaitu 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk.

“Secara keseluruhannya, pencapaian mutu bacaan hafiz dan hafizah, qari dan qariah adalah fasih, tenang dan berkualiti,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Ahmad Akhyar Al Fadli Khairuddin memenangi Kategori 1-10 juzuk lelaki, Muhammad Hakim Rusli menang Kategori 1-20 juzuk lelaki dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini memenangi Kategori 1-30 juzuk lelaki.



Sementara itu, Siti Nursyifaa Shahrizal menang Kategori 1-10 juzuk wanita, Solehatul Munirah Shamsudin memenangi Kategori 1-20 juzuk wanita manakala Allama Al Aini Abdul Aziz memenangi Kategori 1-30 juzuk wanita.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button