Sekeluarga sesat ketika kembara diselamatkan
Anggota penyelamat berjaya menemukan dan membawa pulang sembilan sekeluarga yang sesat semasa melakukan aktiviti kembara di MTB Park, Bukit Merinding di sini tengah malam tadi.
Keluarga itu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sesat semasa melalui Denai Kembara Merinding Labuan, kira-kira 6 petang semalam semasa cuaca buruk dengan hujan lebat dan ribut petir serta keadaan yang gelap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Ismaidi Ismail berkata, pengembara sekeluarga itu dikenali sebagai Nizam Laile Suriani, 36; Siti Nurlina, 27; Khairul Nazmi, 27; Muhammad Adib Akil, tiga; Hanif Ikhwan Azwan, lapan; Muhammad Fitri Azami, sembilan; Muhammad Faiz Hazimi, 12; Muhammad Faris Hakimi, 15; dan Adam Mukhriz, 15.
Beliau berkata, selain daripada Siti Nurlina yang mengalami kekejangan di kaki, semua mereka dalam keadaan selamat.
Ismaidi berkata, pihaknya menggerak sepasukan lapan anggota untuk mencari pengembara yang sesat itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada mereka kira-kira 6.34 petang.
“Kami memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 6.54 petang dan menemukan semua pengembara itu setengah jam kemudian termasuk seorang wanita yang tidak mampu berjalan.
Pasukan kami terpaksa menggunakan tandu sebagai langkah menyelamat sementara yang lain pulang dengan selamat,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Katanya, pengembara berjalan kaki berkenaan tidak dapat mencari jalan balik selepas mereka terkeliru dengan tiga simpang yang ada di denai itu.
fmt