Buka rumah judi, Datuk dan Datin ditahan Polis
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menjadikan empat rumah milik mereka di Rawang di sini, sebagai tempat perjudian pada Julai lalu.
Tertuduh, Datuk Liow Lian Keong, 40, dan isteri, Datin Chen Lye Kuen, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah masing-masing bagi tiga pertuduhan dan satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Mengikut tiga pertuduhan, Liow didakwa menggunakan tiga kediaman dimilikinya di Bandar Country Homes dekat Rawang di sini, sebagai rumah perjudian terbuka.
Kesalahan itu dilakukan di antara jam 5.15 hingga 6.15 petang pada 6 Julai lalu.
AKTA RUMAH JUDI TERBUKA 1953 (PINDAAN 2001)
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.
Sementara itu, Chen turut didakwa menjadikan sebuah kediaman miliknya sebagai rumah judi terbuka jam 5.30 petang pada tarikh dan lokasi sama.
Berikutan itu, tertuduh juga didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Nor Izzat Nordin, Thomas Chin S W dan Matthews.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 20 Disember depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, sebagai berkata, polis menahan 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lalu yang dikesan menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian sejak setahun lalu.
Susulan penahanan 13 individu itu, polis menahan suspek utama yang juga pasangan suami isteri di sebuah rumah dekat Rawang pada 11 Ogos lalu.
bh