Parti Liberal bentuk kerajaan minoriti Kanada

 

Pemimpin Parti Liberal, Justin Trudeau mendapat mandat buat kali ketiga sebagai perdana menteri Kanada untuk membentuk kerajaan minoriti.

Partinya memenangi 156 kerusi parlimen dalam pilihan raya ke-44 kali ini, diikuti Parti Konservatif (121 kerusi), Parti Bloc Quebecois (32 kerusi), Parti Demokratik Baharu (27 kerusi) dan Parti Hijau (dua kerusi) lapor Agensi Berita Xinhua memetik kenyataan media tempatan.

Keputusan pilihan raya itu dilihat tidak jauh berbeza dengan komposisi Dewan Rakyat ketika dibubarkan bulan lepas.

Sebanyak 338 kerusi dipertandingkan, dan sekurang-kurangnya 170 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti.

Pada pilihan raya lalu, Parti Liberal berjaya memperoleh 155, diikuti Parti Konservatif dengan 119 kerusi, Parti Blok Quebecois 32 kerusi, Parti Demokratik Baharu 24 kerusi dan Parti Hijau dua kerusi.

Trudeau sebelum ini menerima kritikan dari blok pembangkang selepas mengumumkan pilihan raya diadakan pada 15 Ogos, ketika negara itu berdepan gelombang keempat serta peningkatan kes COVID-19.

Keputusan Trudeau mengadakan pilihan raya awal dikatakan memberi peluang kepada rakyatnya memilih pemimpin yang boleh menangani krisis COVID-19, serta membawa perubahan.

Parti pembangkang berpendapat keputusannya disebabkan keinginan membentuk sebuah kerajaan majoriti, dan Trudeau sepatutnya memberi perhatian kepada pentadbiran, bukan berkempen ketika wabak terus menular.

BERNAMA

Leave a Reply