AS tiada hasrat ‘Perang dingin’ dengan China

 

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata negara itu tidak berhasrat memulakan perang dingin baru dengan China.

Sebaliknya, tegas beliau, AS berpegang kepada ikrar untuk beralih daripada pasca konflik 9/11 dan mengambil peranan kepimpinan utama terhadap krisis iklim global hingga kepada isu COVID-19.

Dalam ucapan selang beberapa jam pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Biden dan Presiden China, Xi Jinping, membuat ikrar baharu mengenai komitmen itu.

Perkembangan itu secara tidak langsung meningkatkan harapan akan ada perubahan membabitkan dua negara penghasil utama gas rumah hijau serta pelepasan karbon itu.

Pentadbiran Biden mengenal pasti China sebagai cabaran terpenting abad ke-21.

Tetapi dalam ucapan sulungnya pada sidang kemuncak tahunan PBB itu, Biden menjelaskan beliau tidak bermaksud menyebabkan perpecahan.

“Kami tidak berhasrat mewujudkan Perang Dingin baharu atau dunia yang terbahagi kepada blok yang kaku.

“AS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana negara yang menuju ke arah penyelesaian damai walaupun terdapat pertelingkahan dalam aspek lain,” katanya.

Biden tidak menyebut mengenai China secara khusus selain menyuarakan kebimbangan mengenai hak asasi manusia di Xinjiang, yang menurut pakar, lebih sejuta penduduk Islam Uighur berdepan penindasan dan dipenjarakan.

Biden mengisytiharkan dirinya sebagai presiden AS pertama dalam 20 tahun yang tidak akan berperang lagi selepas pengunduran pasukannya dari Afghanistan, yang kini diambil alih oleh Taliban.

Katanya, AS kini ‘membuka era baharu diplomasi berterusan bagi menghadapi sebarang isu di meja rundingan, bukannya di medan perang.

Berbanding presiden AS terdahulu termasuk George W Bush yang memberi tumpuan kepada tindakan ketenteraan, Biden berpandangan tindakan seumpamanya harus hanya menjadi pilihan terakhir selepas semua usaha lain dibuat.

Dalam pada itu, Xi dalam video ucapannya pada sidang kemuncak UNGA, juga tidak menyebut mengenai AS, namun menggesa ‘amalan saling menghormati’ dalam kalangan pemimpin dunia dan menegaskan ‘demokrasi bukanlah hak istimewa’.

Ketika tekanan semakin meningkat berhubung krisis iklim, Xi berkata China akan menghentikan pembiayaan projek arang batu di luar negara dan mengakhiri bantuan berkaitan sumber tenaga yang mengakibatkan pencemaran.

Pengumuman itu dibuat selepas Biden berjanji untuk menggandakan bantuan iklim kepada negara yang terjejas teruk kepada AS$11 bilion (RM46 bilion) setahun. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button