Dadah RM1.008 juta dirampas Kastam

Kastam rampas Dadah

 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 28 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.008 juta untuk pasaran luar negara.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir, berkata operasi dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM pada jam 6 petang, 13 September lalu.

Hasil maklumat orang awam dan intipan selama sebulan, sepasukan anggota JKDM menahan dan membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel di Puchong, Selangor.

Kenderaan terbabit dinaiki dua lelaki dan setiba di Jalan Bandar 1, Puchong, kedua-dua suspek melarikan diri dengan melanggar kenderaan pegawai Kastam dan terus memecut.




“Kastam dapat menahan seorang daripada suspek lelaki berusia 30 tahun warga asing yang bersembunyi di sebuah kedai sekitar bandar Puchong manakala rakannya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas ruang penyimpanan belakang kenderaan itu menjumpai dua beg galas yang di dalamnya mengandungi bungkusan teh berwarna hijau.

“Pemeriksaan lanjut ke atas barang kes menjumpai 28kg bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran nilai berjumlah RM1.008 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, hari ini.

Modus operandi sindiket itu adalah menyembunyikan dadah dalam beg dan diletakkan dalam but kenderaan. Kereta digunakan disyaki kenderaan curi kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan awal mendapati bekalan dadah ini dikumpulkan dan akan dihantar ke luar negara terutama rantau ini dan bukannya untuk pasaran tempatan,” katanya sambil menambah pihaknya sudah mendapat kebenaran untuk menahan reman suspek hingga 27 September ini.

Susulan penahanan suspek, Cawangan Narkotik kemudian menahan empat lagi suspek termasuk yang melarikan diri di Puchong dengan seorang daripadanya ditahan di Gua Musang, Kelantan.

Semua lima suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 31 tahun itu dengan empat daripadanya adalah rakyat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff berkata sejak Januari lalu hingga kini, Cawangan Narkotik Kastam sudah mematahkan pelbagai sindiket pengedaran dadah termasuk rangkaian antarabangsa dan merampas dadah.

Antara dadah dirampas adalah jenis amphetamnine seberat 16,000kg bernilai RM5.2 bilion, dadah methamphetamine seberat 632,862kg (RM22.5 juta), dadah ketamin seberat 2.589kg (RM124,160.50) dan dadah jenis heroin seberat 3.846kg bernilai RM337,569.28.

“Bagi rekod penahanan pula hingga kini, seramai 14 orang yang disyaki (OYDS) telah ditahan dan tujuh berstatus orang kena tuduh (OKT) telah dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button