Kabinet perinci dasar baharu isu kewarganegaraan

Saifuddin Abdullah

Mesyuarat Kabinet esok akan memperincikan dasar baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kewarganegaraan automatik diberi kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, akan dijemput ke mesyuarat Kabinet untuk memberi pandangannya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini dianggap sangat serius. Ini adalah isu diskriminasi dan hak asasi manusia.

“Beberapa menteri turut menyampaikan pandangan mereka dan perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu oleh Datuk Seri Rina Harun dan mendapat sambutan sangat positif daripada rakan Kabinet.

“Ia sudah diputuskan supaya mesyuarat Kabinet esok mengundang Peguam Negara untuk memberi nasihat cara bagaimana kita bergerak daripada isu ini,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sedia melihat hal berkenaan dari segi dasar secara terperinci.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika menggulung perbahasan di Parlimen semalam turut menyebut kerajaan akan merujuk perkara itu kepada Majlis Raja-Raja bagi melaksanakan pindaan Perlembagaan.

“Di bawah Perlembagaan, hal ehwal kerakyatan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja. Esok, Kabinet akan memperincikan langkah yang akan dilaksanakan. Kita akan bincang secara teknikal sebelum diumumkan,” katanya.

Semalam, Hamzah ketika menggulung usul menjunjung kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), memaklumkan KDN bercadang membawa perkara ini bagi mendapat dasar baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ia bagi memudahkan wanita melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warganegara, secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Dalam penghakiman secara dalam talian itu, Hakim Akhtar Tahir, memutuskan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing memiliki hak yang sama dengan lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka yang lahir di luar negara.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button