MU tewas di tangan West Ham, Solskjaer kecewa
Ole Gunnar Solskjaer kecewa dengan permulaan perlahan yang diperagakan Manchester United dengan pengurus Manchester United itu mengakui situasi berkenaan perlu diberi perhatian selepas mereka tersingkir daripada saingan Piala Liga, pagi tadi.
United tewas 1-0 di tangan West Ham menerusi jaringan minit kesembilan oleh Manuel Lanzini di Old Trafford meskipun tuan rumah melakukan 27 percubaan pada aksi terbabit.
Ini adalah kekalahan ketiga The Red Devils dalam tiga perlawanan selepas tumbang di tangan Young Boys pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara dan Solskjaer menegaskan banyak yang perlu diperbaiki oleh anak buahnya.
“Sekali lagi permulaan perlahan dan ini perlu diberi perhatian. Mereka mendapat gol dan walaupun kami bermain dengan baik untuk jangka masa panjang, statistik tidak bermakna apa-apa.
“Kami memberi tekanan dengan memasukkan Mason Greenwood tetapi tekanan yang diberikan tidak menghasilkan apa-apa. Dia memberi impak yang positif tetapi terlalu lewat.
“Kami kucar-kacir pada minit-minit akhir dan mereka (West Ham) boleh menjaringkan lebih banyak gol,” tambah Solskjaer yang melakukan 11 pertukaran selepas menewaskan lawan itu 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, tiga hari lalu.
Pada masa sama, Solskjaer percaya anak buahnya sepatutnya mendapat sepakan penalti selepas Mark Noble dilihat menarik Jesse Lingard di dalam kotak penalti.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi ia adalah penalti ke atas Lingard.
“Anda mahu layak (ke pusingan seterusnya) tetapi ia adalah musim yang panjang dan kami perlu memberikan yang terbaik. Saya tidak boleh salahkan sikap pemain tetapi kami ada lagi perlawanan besar selepas ini,” katanya.
Apapun, kemenangan itu membolehkan David Moyes meraih kemenangan pertama ke atas United sejak beliau dipecat mengemudi bekas kelabnya itu tidak sampai semusim pada 2014.
Ia juga adalah kejayaan pertama West Ham di Old Trafford sejak 2007 dan akan beraksi dalam 16 terakhir selepas ini berdepan Manchester City. – AGENSI