Hina Agong, penjara setahun dan denda RM20 ribu

 

Tindakan seorang penganggur yang menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial buat kali ketiga membawa padah apabila dia dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu selepas Sharil Mohd Sarif, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan serahan dokumen kes pagi Jumaat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap iaitu pada 24 Ogos lalu dan dipenjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Mahkamah juga mendenda tertuduh sebanyak RM1,000 atau tiga bulan penjara mengguna pakai proviso kes, di mana setiap kesalahan selepas pensabitan boleh didenda RM1,000.

Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan profil Sharil bin Mohd Sarif, pada jam 7.43 pagi, 20 April lalu.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, pada jam 1.30 petang, hari sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya sudah meninggal Jun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman yang berat kerana mengulangi kesalahan sama malah tidak serik walaupun dipenjarakan dua kali atas kesalahan tersebut.

Pada 26 April 2019, Sharil dipenjara dua bulan oleh mahkamah sama atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil nama Sharil Chain.

Pada 6 Julai 2020 pula, dia dipenjara 10 bulan atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

sinar

Leave a Reply