Zahid bidas Muhyiddin isu naik taraf Sri Perdana
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa cuba mengalih perhatian apabila mengaitkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu menaik taraf Kompleks Seri Perdana.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek menaik taraf kediaman rasmi Perdana Menteri itu diluluskan pada pentadbiran Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara berdepan krisis pandemik COVID-19.
“Tidak masuk akal untuk Presiden BERSATU cuba mengaitkan Perdana Menteri keenam (Najib) dengan kelulusan projek RM38.5 juta menaik taraf Kompleks Seri Perdana pada zaman beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.
“Ia seolah-olah satu ‘diversion strategy’ atau strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang dipersoalkan secara hebat ketika ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kerajaan sebelum ini mengesahkan kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana membabitkan kos RM38.5 juta dan diluluskan pada 19 Mac 2021 sebelum kerja membaik pulih bermula pada 29 Mac 2021.
Bagaimanapun, pembangkang mempersoalkan projek berkenaan yang didakwa dilakukan ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Muhyiddin yang membuat penjelasan, memaklumkan kediaman rasmi Perdana Menteri akan rosak lebih teruk jika tidak dibaik pulih selain menyatakan ia membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang sudah lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung rosak atau usang.
Ahmad Zahid berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mendakwa kos RM35.8 juta termasuk perolehan perabot perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset milik peribadi Najib sudah dipindah keluar.
“Pertama, bukankah memang menjadi hak Perdana Menteri keenam mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi berkenaan, sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila tidak lagi berkhidmat.
“Perdana Menteri keenam cuma mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh JPM (Jabatan Perdana Menteri) pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa wang negara digunakan sedangkan ia lebih wajar dimanfaatkan untuk membantu rakyat.
BH